
ULASAN BERITA
- Pindaan Akta 800 memperkenal penambahbaikan faedah: EBSA 50%, Fi Latihan RM7,000, Elaun Latihan RM30 dan Elaun Bantuan Mobiliti RM1,000 sekali bayar.
- Penambahbaikan dan LINDUNG 24 Jam memperkukuh perlindungan sosial, melebarkan manfaat kepada jutaan pencarum serta menyokong pemulihan pasaran buruh.
- Pencarum layak perlu memohon melalui portal LINDUNG Kerjaya; pengecualian termasuk meletak jawatan sukarela, salah laku, persaraan wajib atau tamat kontrak.
Hilang pekerjaan, bukan sesuatu perkara yang mudah.
Tiada pekerja yang sanggup menghadapinya, apa lagi jika memikirkan ketiadaan pekerjaan boleh memakan masa berbulan-bulan lamanya.
Apa pun, mana-mana insan perlu tabah menerima sesuatu perkara di luar jangka.
Jangan dek secebis ujian, kita mengalah, putus harapan kerana setiap perjuangan, pasti ada penyelesaian.
Anda tidak bersendirian. Yang penting perlu tahu saluran bagi mendapatkan bantuan atau sokongan.
Mulai 1 Oktober, pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh memohon faedah mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 (Akta 800) berdasarkan kadar baharu.
Mereka yang memenuhi syarat kelayakan berpeluang menikmati manfaat daripada tiga penambahbaikan.
Ia melibatkan kadar baharu peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).
Selain menerusi kenaikan Fi Latihan kepada 7 ribu ringgit berbanding 4 ribu ringgit dan peningkatan Elaun Latihan kepada 30 ringgit sehari.
Pindaan juga melibatkan pengenalan faedah baharu. Antaranya Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1000 secara sekali bayar.
Penambahbaikan itu akan memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pencarum dan diyakini mampu merancakkan kembali pasaran buruh negara.
EBSA bermaksud elaun bagi pekerja yang kembali bekerja semula awal dalam tempoh menerima Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).
Pencarum menerima bayaran secara pukal daripada baki EMP yang belum dibayar bagi kehilangan pekerjaan sebelum 1 Oktober 2026.
Elaun Latihan pula merupakan elaun dibayar kepada Orang Berinsurans yang menghadiri latihan disediakan penyedia berdaftar dengan PERKESO.
Reformasi terbaharu digerakkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut disokong oleh mekanisme peralihan kerjaya secara menyeluruh.
Sekali gus melengkapkan agenda mengukuhkan perlindungan sosial secara lebih menyeluruh.
Selari pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, 1 Jun lalu yang turut meliputi risiko kemalangan di luar waktu bekerja.
Peranan PERKESO cukup besar untuk membantu rakyat di negara ini.
Media pernah melaporkan, lebih 42,000 individu di seluruh negara hilang pekerjaan setakat 12 Jun 2026.
Memetik Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan, berdasarkan statistik PERKESO, sebanyak 134,123 tuntutan faedah melalui program LINDUNG Kerjaya, diluluskan.
Ia membabitkan jumlah keseluruhan bayaran RM248.23 juta.
Sedar atau tidak, semua kelebihan itu sebenarnya hasil keperihatinan rakyat Malaysia, kalau bukan daripada wang caruman pencarum PERKESO itu sendiri.
Mungkin hari ini, hari mereka atau mangsa ujian, tetapi masa depan kita siapa tahu?
Namun anda tidak layak mendapat manfaat PERKESO jika meletak jawatan secara sukarela, ada salah laku disiplin, persaraan wajib dan penamatan kontrak.
Siapa pula yang boleh dapatkan perlindungan?
Berdasarkan semakan di laman web PERKESO, mereka merupakan warganegara Malaysia/ pemastautin tetap yang bekerja di sektor swasta atau pekerja domestik.
Pekerja berumur 18 hingga 60 tahun dan berdaftar bawah Akta 800. Selain memenuhi jumlah caruman minimum dalam tempoh ditetapkan.
Mengimbas seketika tragedi besar yang menggemparkan negara di Long Lellang, Miri, Sarawak.
Dua daripada lima mangsa nahas helikopter merupakan pencarum PERKESO dan waris layak menerima faedah bulanan.
Jelas Datuk Seri R. Ramanan, waris juruterbang helikopter Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, layak menerima Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM5,355 sebulan.
Waris pegawai perubatan Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, juga layak menerima pencen penakat bulanan.
PERKESO bukan saja membantu dengan kadar bayaran kepada mereka yang hilang punca pendapatan, malah membantu pihak terkesan dengan penganjuran MyFutureJobs.
Buat pencarum yang kehilangan pekerjaan, kemukakan permohonan faedah melalui portal LINDUNG Kerjaya, atau mana-mana kaunter PERKESO berdekatan.
Jangan berputus asa, rezeki sentiasa terbentang luas. Patah sayap bertongkat paruh. Ayuh bangkit semula!!
Ulasan Berita ini disediakan Editor Berita RTM, Mohd Khairie Khalid.