Hutang negara dan insentif rakyat di mana titik imbangnya?

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya/RTM

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan perlu imbangkan kebajikan rakyat dengan kelestarian fiskal supaya hutang tidak membebankan generasi akan datang.
  • Usaha kawal fiskal termasuk pengurusan hutang berhemat, peningkatan hasil negara dan perbelanjaan lebih cekap.
  • Gunakan pelaburan GLIC, GLC dan kerjasama awam-swasta fokus sektor produktif untuk pekerjaan, produktiviti dan peluang kepada PMKS.
  • Setiap projek mesti dinilai dari segi pulangan, manfaat rakyat dan risiko supaya setiap ringgit memberi nilai terbaik.

Pelbagai insentif diumumkan untuk meringankan beban rakyat, termasuk kenaikan gaji minimum, pengekalan bantuan dan pelepasan cukai.

Namun, timbul persoalan; sampai bila kerajaan mampu menyediakan pelbagai insentif ketika negara masih menanggung hutang yang tinggi?

Ini bukan bermaksud bantuan perlu dihentikan.

Sebaliknya, rakyat perlu memahami kepentingan kerajaan mengimbangi kebajikan rakyat dengan keperluan memastikan kewangan negara kekal mampan.

Menerusi Belanjawan 2027, hasil Persekutuan diunjurkan sebanyak RM380.8 bilion, manakala defisit fiskal disasarkan menurun kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 3.6 peratus tahun ini.

Hutang Kerajaan Persekutuan pula mencecah kira-kira RM1.379 trilion pada akhir Jun 2026, manakala nisbah hutang kepada KDNK diunjurkan turun kepada 63.7 peratus pada 2027.

Angka ini mencerminkan usaha kerajaan mengawal kedudukan fiskal.

Namun usaha itu perlu disokong pengurusan hutang berhemat, peningkatan hasil negara dan perbelanjaan yang lebih cekap.

Persoalannya, bagaimana kerajaan memastikan hutang baharu tidak terus membebankan generasi akan datang, sedangkan keperluan rakyat terus meningkat?

Antara pendekatannya ialah memanfaatkan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta kerjasama awam-swasta.

Belanjawan 2027 merangkumi pelaburan GLIC sebanyak RM25 bilion dan pelaburan awam-swasta sebanyak RM11 bilion.

Pelaburan dalam sektor produktif seperti teknologi, semikonduktor, infrastruktur dan tenaga berpotensi mewujudkan pekerjaan, meningkatkan produktiviti serta membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Apabila ekonomi berkembang, kerajaan berpeluang memperoleh hasil cukai dan pulangan pelaburan yang lebih baik.

Namun, pelaburan besar tidak semestinya menjamin pulangan besar.

Setiap projek perlu dinilai berdasarkan hasil, manfaat kepada rakyat dan risiko kewangannya.

Yang penting, sejauh mana pelaburan ini mewujudkan pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat dan membuka peluang kepada PMKS menyertai rantaian bekalan negara?

Dalam pengurusan ekonomi, hutang bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Pinjaman boleh menjadi pemangkin pembangunan jika digunakan untuk membina aset dan meningkatkan keupayaan ekonomi menjana pendapatan.

Namun, hutang tanpa pulangan yang sepadan boleh mengecilkan ruang kerajaan membiayai keperluan penting pada masa hadapan.

Justeru, kerajaan perlu mengimbangi bantuan bersasar dengan usaha mengurangkan ketirisan, meningkatkan pematuhan cukai dan menilai keberkesanan subsidi serta insentif.

Matlamatnya bukan sekadar mengurangkan hutang dan perbelanjaan, tetapi memastikan setiap ringgit memberikan nilai terbaik kepada rakyat.

Dalam masa sama, dasar gaji juga perlu diberi perhatian.

Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa Jun 2027, dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Kerajaan turut mengumumkan kerangka gaji permulaan RM2,500 sebulan bagi pekerja separa mahir dan lepasan universiti.

Pendapatan lebih tinggi boleh meningkatkan kuasa beli dan membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.

Namun, bagi PMKS yang mempunyai margin keuntungan kecil, kenaikan kos gaji boleh menambah tekanan.

Oleh itu, pelaksanaan dasar gaji perlu disokong latihan kemahiran, automasi, akses pembiayaan dan insentif peningkatan produktiviti.

Bagi gaji permulaan RM2,500 pula, mekanisme pelaksanaan dan kumpulan yang layak perlu diperjelas supaya pekerja serta majikan memahami skop sebenar dasar ini.

Akhirnya, kejayaan Belanjawan 2027 bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah bantuan atau peruntukan yang diumumkan.

Tetapi, sejauh mana bantuan meningkatkan kehidupan rakyat, pelaburan menghasilkan pertumbuhan berkualiti dan perniagaan mampu berkembang tanpa terbeban secara berlebihan?

Cabaran sebenar, kerajaan perlu terus menjaga kebajikan rakyat, namun pada masa sama memastikan komitmen hari ini tidak menjejaskan kemampuan negara pada masa hadapan.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Siti Salwa Yusop.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.