PM hargai kunjungan duta Rusia ke Hospital Bukit Mertajam

Foto FB PM

KUALA LUMPUR, 3 November– Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov atas kunjungan beliau ke Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan membuka ruang pertukaran pandangan, pengalaman dan kepakaran untuk memperluas kerjasama bidang kesihatan.
  • Yakin hubungan akrab Malaysia dan Rusia akan diterjemahkan secara konsisten dalam pelbagai lapangan berkepentingan.
  • Penghargaan dirakamkan kepada warga Kementerian Kesihatan, jabatan kesihatan negeri dan hospital atas sambutan serta komitmen.
  • Rusia berhasrat memperkukuh kerjasama perubatan dan pendidikan, serta memperluas peluang pengajian tinggi untuk rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata kunjungan itu membuka ruang kepada pertukaran pandangan, pengalaman serta kepakaran khususnya bagi memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan antara Malaysia dan Rusia.

“Saya yakin kedua-dua negara dapat memanfaatkan hubungan akrab Malaysia-Rusia yang pastinya akan diterjemahkan secara konsisten di dalam pelbagai lapangan lain yang berkepentingan,” katanya dalam hantaran itu.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Hospital Bukit Mertajam atas sambutan serta komitmen yang diberikan.

Semalam, Latypov ketika lawatan itu berkata Rusia berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang perubatan dan pendidikan termasuk memperluas peluang rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di negara berkenaan.

– BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.