
KUALA LUMPUR, 4 November – Imbuhan berjumlah RM4.26 juta disalurkan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet serta jurulatih yang meraih pingat pada tiga temasya utama tahun ini, iaitu Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya.
- Insentif: RM3.55 juta untuk atlet pemenang pingat; RM710,000 untuk jurulatih melalui SGAR.
- Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, ucap terima kasih dan akui insentif tidak cukup membayar pengorbanan atlet.
- Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerima RM180,000 sebagai penghargaan khas; Datuk Abdul Latif Romly menerima RM160,000.
- Prestasi membanggakan: 8 emas Komanwel, 9 emas Sukan Asia, dan sasaran enam emas Sukan Para Asia tercapai.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3.55 juta merupakan insentif SHAKAM kepada atlet pemenang pingat, manakala RM710,000 pula insentif Skim Galakan Jurulatih (SGAR) kepada jurulatih.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari ketika memaklumkan perkara itu berkata angka berkenaan merangkumi RM1.09 juta bagi Sukan Komanwel Glasgow, RM1.87 juta bagi Sukan Asia dan RM1.30 juta bagi Sukan Para Asia Aichi-Nagoya.
“Insentif iitu tidak cukup untuk membayar segala pengorbanan atlet.
“Saya mewakili kerajaan berterima kasih kepada semua atlet yang telah berkorban untuk negara demi mengibarkan Jalur Gemilang di persada dunia,”katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan Bagi Temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjadi antara penerima imbuhan tertinggi bagi kategori Penghargaan Khas dengan membawa pulang RM180,000, manakala jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly pula menerima ganjaran berjumlah RM160,000.
Pada temasya Sukan Komanwel Glasgow yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos lepas, kontinjen negara meraih lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus menduduki tempat ke-10 secara keseluruhan.
Pencapaian itu melepasi sasaran awal iaitu lima pingat emas, selain merupakan pencapaian terbaik negara sejak Sukan Komanwel New Delhi 2010.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya pula, atlet negara sekali lagi membuktikan kehebatan dengan berjaya melepasi sasaran enam emas dengan membawa pulang sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa.
Pencapaian membanggakan itu sekali gus menyaksikan atlet negara berjaya menyamai rekod terbaik Malaysia di Sukan Asia Guangzhou 2010.
Kecemerlangan turut dilakar pada temasya Sukan Para Asia yang berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober lalu apabila sasaran enam emas berjaya dicapai kontinjen negara.