Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 ditangguhkan

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Bukit Jalil pada 10 Oktober 2026 (Sabtu) ditangguhkan, susulan situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan ditangguhkan; tarikh baharu akan diumumkan selepas kualiti udara pulih.
  • Keputusan dibuat selepas perbincangan bersama agensi kerajaan dan mengambil kira aspek kesihatan awam serta keselamatan semua pihak.
  • Beberapa negeri menangguhkan sambutan, manakala negeri lain terus berjalan mengikut situasi setempat dan pentadbiran masing-masing.
  • KBS menyeru hadkan aktiviti fizikal luar serta patuhi nasihat dan panduan KKM dan JAS demi keselamatan kesihatan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan memaklumkan tarikh baharu penganjuran acara itu akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap yang selamat bagi aktiviti luar.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama agensi kerajaan berkaitan serta mengambil kira aspek kesihatan awam dan keselamatan peserta, penganjur serta orang ramai.

“KBS sentiasa memantau dengan teliti perkembangan kualiti udara dan situasi jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di negara ini.

“KBS juga menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keadaan jerebu yang sedang melanda negara”, menurut kenyataan itu.

Keputusan dibuat sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada para peserta, penganjur dan orang ramai.

“KBS memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan merakamkan penghargaan atas pengertian dan kerjasama semua pihak.

Bagaimanapun, penganjuran HSN di peringkat negeri, lain-lain peringkat serta lokasi tertakluk kepada situasi setempat serta pentadbiran masing-masing.

“Sambutan penganjuran HSN di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka – Ditangguhkan.

“Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan – Berjalan Seperti Dirancang.

KBS turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat masa ini serta sentiasa mematuhi nasihat dan panduan kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.