Skuad hoki negara sasar tewaskan Jepun

Foto RTM

INDIA, 2 November –Skuad hoki lelaki negara menjadikan kemenangan ke atas Jepun sebagai misi utama bagi menutup aksi peringkat kumpulan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dengan nota positif, sekali gus melupakan kekalahan 2-4 kepada India, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih lihat petanda positif walaupun tewas, menilai prestasi pasukan masih menunjukkan peningkatan.
  • Layangan kad kuning 10 minit pada saat kritikal ubah momentum dan menjejaskan rentak permainan Malaysia.
  • Speedy Tigers makin meningkat sejak Sukan Asia; perlu fokus dan pastikan kemenangan dalam dua pertemuan menentang Jepun.

Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan berkata, beliau tetap melihat petanda positif dalam aksi anak buahnya ketika berdepan India, meskipun keputusan tidak memihak kepada Malaysia.

Menurutnya, layangan kad kuning selama 10 minit pada saat kritikal menjadi titik perubahan perlawanan apabila momentum permainan beralih kepada lawan, sekali gus menjejaskan rentak Malaysia.

Bagaimanapun, Carolan menegaskan prestasi Speedy Tigers semakin meningkat berbanding ketika beraksi pada Sukan Asia, dengan jurang keupayaan menentang pasukan lawan kini semakin mengecil.

“Kami sebenarnya bermain dengan baik, namun layangan kad kuning selama 10 minit itu mengubah momentum perlawanan. Ia berlaku pada saat kritikal dan memberi kesan besar terhadap corak permainan.

“Bagaimanapun, pergerakan pasukan lebih baik berbanding ketika di Sukan Asia. Jurang semakin mengecil dan kami sedang menunjukkan peningkatan. Kini, kami perlu kembali fokus serta memastikan kemenangan dalam dua perlawanan menentang Jepun,” katanya kepada pemberita, di sini.

Mengulas cabaran berdepan Jepun, Carolan mengakui lawan memiliki kekuatan tersendiri, namun menegaskan Speedy Tigers perlu memanfaatkan dua pertemuan itu untuk memburu kemenangan.

“Jepun bermain dengan baik dan mereka pasukan yang bagus. Namun, bagi kami, keutamaan adalah memastikan kemenangan ke atas mereka dalam dua perlawanan akan datang. Kami perlu terus berusaha dan tidak berhenti setakat itu,” katanya lagi.

Malaysia yang kini menghuni tangga kedua dengan sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan, akan menentang Jepun malam ini dalam misi memburu kemenangan dan menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan keputusan positif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.