
CHERAS, 2 November –Sabah FA mempertahankan kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) selepas menundukkan Selangor FC 1-0 dalam aksi final musim 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
- Enzi Hekima Starks Broussard menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 melalui rembatan jarak jauh.
- Gol itu menghadiahkan gelaran ketiga LWN kepada Sabah selepas kejayaan pada edisi 2023 dan 2025.
- Penjaga gol Selangor Nurdiana Syafiqah membuat beberapa penyelamatan penting, mengekalkan keputusan 0-0 sehingga lewat perlawanan.
Penyerang import dari Amerika Syarikat, Enzi Hekima Starks Broussard muncul wira Sabah apabila meledak gol tunggal kemenangan pada minit ke-89, sekali gus menghadiahkan gelaran ketiga LWN buat pasukan itu selepas turut muncul juara pada edisi 2023 dan 2025.
Sabah yang menguasai babak pertama hampir membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Enzi Hekima pada minit ke-21, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Nurdiana Syafiqah Mohd Rostam.
Nurdiana Syafiqah sekali lagi menjadi penghalang apabila cemerlang menafikan percubaan jarak dekat pertahanan Sabah, Juliana Barek pada minit ke-38, sekali gus memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor meningkatkan tempo permainan dalam usaha mencari gol pendahuluan dan hampir memecah kebuntuan menerusi pemain gantian, Yeo Menji pada minit ke-69, namun percubaannya tersasar tipis di sebelah kanan pintu gol.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, Enzi Hekima memecah kebuntuan menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-89 yang gagal ditangkap kemas Nurdiana Syafiqah, sekali gus memastikan Sabah mengekalkan mahkota kejuaraan di bawah kendalian Bobby Gonzales.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobby Gonzales menyifatkan kejayaan mempertahankan kejuaraan itu sebagai hasil kesungguhan dan kerja keras seluruh barisan pemain yang berjuang sehingga wisel penamat.
“Syukur kerana kami berjaya sekali lagi muncul juara tahun ini. Saya melihat kesungguhan semua pemain yang bekerja keras sejak awal permainan hingga tamat. Mereka berjuang habis-habisan dan akhirnya usaha itu membuahkan hasil dengan kemenangan malam ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Piala kepada pasukan Sabah FA di stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Sabah FA muncul juara, diikuti Selangor FC selaku naib juara, manakala Kelana United FC menduduki tempat ketiga.
Hadiah kemenangan berkenaan disampaikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan selepas aksi final LWN 2026.