Belanjawan 2027: Bank Dunia cadang perkukuh perlindungan sosial

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober –Perlindungan sosial perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan manfaat yang diterima rakyat mencukupi, selain memperluas liputan kepada pekerja ekonomi gig dan golongan warga emas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu tambah baik kecukupan manfaat program bantuan sosial meskipun liputan telah diperluas.
  • Perlu memperluas perlindungan untuk pekerja ekonomi gig, termasuk akses insurans pekerjaan terhadap risiko kehilangan pendapatan.
  • Pertimbangkan mekanisme sumbangan atau padanan untuk memperluas liputan dan tingkatkan skala pencen sosial tanpa caruman bagi warga emas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, meskipun kerajaan telah memperluas serta meningkatkan skala pelbagai program bantuan sosial, masih terdapat ruang untuk menambah baik tahap kecukupan manfaat yang disediakan.

“Syabas kepada kerajaan kerana telah memperluas dan meningkatkan skala STR dan SARA yang sememangnya sangat berjaya. Namun, terdapat isu dari segi kecukupan “.

“Walaupun manfaat sedia ada berjaya disalurkan kepada kebanyakan mereka yang layak, jumlahnya masih kecil dan perlu diagihkan kepada ramai penerima”, katanya pada taklimat media Laporan Kemas Kini Ekonomi AsiaTimur dan Pasifik Bank Dunia bagi Oktober 2026, hari ini.

Menurutnya, pekerja ekonomi gig antara kumpulan yang masih memerlukan perhatian, khususnya dari segi perlindungan terhadap risiko kehilangan pekerjaan dan akses kepada sistem insurans pekerjaan.

Tambah beliau, kerajaan boleh mempertimbangkan mekanisme tertentu, termasuk sumbangan atau padanan, bagi membantu memperluas perlindungan sosial kepada kumpulan berkenaan.

Liputan skim pencen sosial tanpa caruman ketika ini masih rendah, dengan hanya kira-kira empat peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau berpandangan peluasan serta peningkatan skala perlindungan sosial untuk warga emas wajar diberi perhatian bagi memastikan golongan itu mendapat sokongan yang lebih mencukupi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.