
PUTRAJAYA, 6 Oktober – Sebanyak 40 usahawan mikro tempatan diberi peluang berniaga di Litar Rasa MADANI, G Hillstand sempena dengan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 tanpa dikenakan sewa tapak dan komisen jualan untuk mereka menyertai acara bertaraf antarabangsa itu.
- KUSKOP menyediakan khemah, meja, kerusi, peti sejuk dan kipas serta kemudahan ruang makan, isi semula air, tandas dan surau.
- Hanya perlu bayar lesen Majlis Perbandaran Sepang RM180, berbanding kadar sewa komersial melebihi RM6,000 dan komisen 15%.
- Inisiatif membuka akses pasaran, memperkenalkan produk tempatan, dan memberi peluang ekonomi daripada acara antarabangsa; KUSKOP akan terus meluaskan peluang.
Menerusi kenyataan media Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong maklumkan, kadar sewa komersial di G Hillstand bagi tempoh tiga hari melebihi RM6,000, tidak termasuk SST, selain komisen sebanyak 15% daripada jumlah jualan kasar.
Bagaimanapun kesemua 40 usahawan berkenaan hanya perlu membayar RM180 bagi lesen perniagaan kepada Majlis Perbandaran Sepang.
“KUSKOP mahu memastikan usahawan kecil Malaysia turut mempunyai ruang untuk berada di pentas acara antarabangsa seperti F1 tanpa dibebani kos penyertaan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Bagi membolehkan peniaga memberi tumpuan kepada stok, tenaga kerja dan operasi, KUSKOP turut menyediakan khemah, kerusi, meja, peti penyejuk dan kipas.
Kawasan berkenaan turut dilengkapi dengan ruang makan, kemudahan isi semula air, serta tandas dan surau untuk keselesaan pengunjung.
Jelasnya, inisiatif berkenaan membolehkan perusahaan mikro dan kecil mendapat akses kepada pasaran serta pelanggan yang lebih besar, di samping membuka peluang untuk memperkenalkan produk tempatan dalam acara berprofil tinggi.
Litar Rasa MADANI ditempatkan di G Hillstand iaitu kawasan Tiket MADANI berharga RM200 untuk tempoh tiga hari dengan 10,000 tiket diperuntukkan khas kepada pemegang MyKad.
Sepanjang tiga hari acara, 40 gerai tersebut menawarkan lebih 100 pilihan makanan dan minuman tempatan seperti nasi lemak ayam rendang, nasi kerabu, laksa, patin tempoyak, keropok lekor dan sebagainya.
Selain itu, harga makanan dan minuman turut ditawarkan pada kadar berpatutan, antaranya air mineral RM3, pencuci mulut bermula RM1 dan nasi lemak ayam rendang RM15.
Beliau berkata konsep berkenaan bukan sahaja memberi pilihan makanan pada harga berpatutan kepada pengunjung, malah memastikan peluang ekonomi daripada acara antarabangsa dapat dimanfaatkan usahawan kecil tempatan.
“Acara antarabangsa seperti F1 tidak semestinya hanya membuka peluang kepada syarikat besar. Tugas KUSKOP ialah memastikan usahawan kecil Malaysia juga ada ruang untuk berada di pentas itu,” katanya.
Justeru, KUSKOP akan terus memperluaskan akses pasaran kepada perusahaan mikro dan kecil dengan mengurangkan halangan kos serta membuka lebih banyak peluang untuk mereka menyertai acara dan pasaran berskala besar.