
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Peningkatan pengetahuan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia perlu diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku dan keputusan kewangan yang lebih baik.
- Literasi kewangan mesti diterjemah kepada perubahan tingkah laku dan keputusan kewangan yang lebih baik.
- Pendidikan kewangan perlu disesuaikan dengan realiti pendapatan, tanggungjawab keluarga dan akses sokongan untuk membolehkan tindakan.
- Pendekatan bersasar seperti Program GoGiggers menunjukkan hasil; FEN akan tumpu impak berkekalan melalui strategi literasi kewangan nasional.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, meskipun indeks pengetahuan kewangan meningkat kepada 62.9 mata pada 2024 berbanding 55 mata pada 2015, indeks tingkah laku dan sikap kewangan masih tidak banyak berubah.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan penyampaian maklumat semata-mata belum mencukupi, sebaliknya pendidikan kewangan perlu disesuaikan dengan keadaan sebenar yang dihadapi masyarakat.
“Masyarakat mungkin mengetahui apa yang sepatutnya mereka lakukan, namun pendapatan yang tidak menentu, tanggungjawab menjaga keluarga, peningkatan kos sara hidup atau akses yang terhad kepada sokongan yang sesuai boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk bertindak berdasarkan pengetahuan tersebut.
“Justeru, memahami punca sebenar adalah penting. Jika faktor yang menyebabkan kerentanan kewangan berbeza, kita tidak boleh menganggap penyelesaiannya juga sama,” katanya dalam ucapan bersempena Pelancaran Bulan Literasi Kewangan 2026.

Tambahnya, pendekatan lebih bersasar sudah menunjukkan hasil menerusi Program Literasi Kewangan GoGiggers yang melibatkan pekerja gig.
Pelaksanaan awal program itu mencatat peningkatan 34.4 peratus dalam kesejahteraan kewangan peserta, manakala 74 peratus mula mempunyai simpanan kecemasan.
Peserta turut mengumpul lebih RM68,000 dalam simpanan dan RM40,000 dalam pelaburan sepanjang program berkenaan.
Adnan berkata, memasuki dekad kedua, Financial Education Network (FEN) akan memberi tumpuan kepada impak yang lebih berkekalan selepas melaksanakan lebih 1,800 program pendidikan kewangan sejak 2016.
Usaha itu akan dipandu Strategi Nasional Literasi Kewangan Malaysia 2026 hingga 2030 bagi membantu rakyat membuat keputusan kewangan yang lebih baik mengikut keperluan dan peringkat kehidupan masing-masing.