Bank bakal perluas amaran risiko penipuan

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berucap pada Persidangan Antarabangsa di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Industri perbankan bersama PayNet bakal memperkenalkan keupayaan amaran penipuan yang lebih meluas, bagi membolehkan pihak bank serta pelanggan menerima peringatan mengenai potensi risiko sebelum sesuatu transaksi diselesaikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ujian rintis amaran penipuan akan melibatkan bank terpilih dengan sasaran pelaksanaan pada separuh pertama 2027.
  • Amaran dirancang menggalakkan pelanggan berhenti seketika, berfikir dan membuat pengesahan sebelum meneruskan transaksi.
  • BNM mengakui ciri ini mungkin menambah langkah tetapi perlu untuk seimbangkan kemudahan pelanggan dan perlindungan daripada penipuan.
  • PayNet kenal pasti lebih 1,600 akaun mencurigakan; sektor berjaya sekat cubaan penipuan bernilai RM1.9 bilion pada separuh pertama 2026.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ujian rintis bagi ciri terbaharu itu akan melibatkan bank-bank terpilih dengan sasaran pelaksanaannya pada separuh pertama 2027.

“Amaran ini akan menggalakkan pelanggan supaya berhenti seketika, berfikir dan membuat pengesahan sebelum meneruskan transaksi.

”Kami akui bahawa ciri ini mungkin menambah sedikit proses atau langkah tambahan kepada pelanggan. Namun, langkah ini perlu bagi mencapai keseimbangan yang wajar antara kemudahan kepada pelanggan dan perlindungan daripada penipuan, khususnya yang dilakukan melalui transaksi yang diluluskan sendiri oleh mangsa.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026 hari ini.

Tambahnya, sehingga kini PayNet telah mengenal pasti lebih 1,600 akaun mencurigakan yang kebanyakan didapati mempunyai risiko berkaitan akaun keldai.

Sementara itu katanya, sektor kewangan berjaya menghalang cubaan transaksi penipuan dianggarkan bernilai RM1.9 bilion pada separuh pertama 2026, melebihi RM1.2 bilion yang disekat sepanjang 2025.

Lebih RM37 bilion nilai aset turut berjaya diperoleh semula dalam tempoh lima tahun lepas.

”Kes jenayah kewangan yang berprofil tinggi dan kompleks turut disiasat dan didakwa, termasuk kes yang membabitkan pelbagai agensi. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan usaha bersama seluruh negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.