
SANDAKAN, 6 Oktober – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) menjalankan rondaan pemantauan di kawasan sekitar Sandakan susulan gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 yang berlaku di perairan daerah itu pukul 9.11 malam tadi.
- Rondaan pemantauan dijalankan di kawasan bandar, bangunan dan rumah pesisir pantai.
- Tiada laporan kerosakan diterima; keadaan terkawal. Penduduk diingatkan agar tidak panik dan lapor jika terasa gegaran.
- METMalaysia mengesan pusat gempa pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 48 kilometer di timur Lahad Datu.
Lokasi pemantauan melibatkan kawasan bandar, bangunan dan rumah di kawasan pesisir pantai.
Ketua BBP Sandakan Jimmy Lagung berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kerosakan susulan kejadian itu.
Beliau mengingatkan penduduk Sandakan agar tidak panik dan segera melaporkan kepada pihak bomba sekiranya merasa gegaran.
“Setakat ini, Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan belum menerima beberapa maklumat atau laporan mengenai kejadian gempa bumi itu.
“Penduduk jangan panik, setakat ini keadaan terkawal. Jika ada keadaan mencurigakan hubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan rondaan pemantauan, di sini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan pusat gempa itu dikesan pada koordinat 4.9 darjah Utara dan 118.7 darjah Timur, pada kedalaman 10 kilometer.
Pusat gempa terletak kira-kira 48 kilometer di timur Lahad Datu.