Kematian tragis remaja oleh remaja, ini saranan penyelesaian adil

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan kesihatan mental dan emosi melalui program sekolah, saringan proaktif, aktiviti kokurikulum serta sukarelawan kesihatan mental.
  • Perkukuh peranan keluarga dan ibu bapa dalam pendidikan emosi, komunikasi serta aktiviti rumah sebagai pelengkap pendidikan sekolah.
  • Perketat kawal selia kandungan media sosial dan hiburan, sokong kajian dasar, serta galakkan pengisian motivasi jangka panjang.

Kita dikejutkan dua kes kematian pelajar di sekolah yang berbeza dalam tempoh yang terdekat. Isunya menarik pelbagai reaksi serta cadangan penyelesaian segera di pihak yang berautoriti.

Sudah pasti, kehilangan dua nyawa dalam dua insiden berbeza itu sangat menyedihkan serta memberi impak yang mendalam kepada pihak yang terlibat.

Konteks Kesihatan Awam menakrifkan kesihatan menurut definisi WHO iaitu merupakan keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang menyeluruh, dan bukan sekadar ketiadaan penyakit atau keadaan lemah dari komplikasi apa jua penyakit yang berlaku.

Untuk itu, kesihatan mental dan sosial turut menjadi tumpuan sebagai elemen yang perlu diberikan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

Fokus kesihatan dalam persepsi semasa didapati lebih menjurus kepada kesihatan fizikal. Meskipun terdapat kajian berkaitan tahap kesihatan mental yang turut melibatkan emosi namun ianya seperti jarang diberikan perhatian mendalam.

Dalam konteks rutin harian kita ini, tidak dapat tidak untuk kita mengakui bahawa kesihatan mental dan emosi seperti tidak mendapat perhatian pengubatan dan pencegahan seperti mana penyakit-penyakit fizikal.

Dalam suasana yang melibatkan reaksi penuh emosi seperti yang turut rasakan pada masa kini, kes-kes yang melibatkan kematian di kalangan pelajar sekolah adalah sesuatu yang perlu dinilai dalam perspektif yang lebih luas dan menyeluruh.

Justeru, pemegang taruh baik dari pembuat polisi, pelaksana, pihak keluarga serta seisi warga masyarakat perlu sama-sama memikirkan penyelesaian yang lebih ampuh dalam memastikan situasi terkawal serta berjaya dicegah untuk tempoh yang akan datang.

Kita perlu menerima dengan minda terbuka bahawa situasi yang berlaku berkemungkinan merupakan produk kepada situasi yang didorong oleh pelbagai faktor yang melibatkan individu.

Antaranya cara penataan kasih sayang di peringkat keluarga, libat urus dengan masyarakat sekeliling serta bagaimana sistem pendidikan diolah dan respon norma masyarakat yang kini skop komunikasi media sosial yang terlalu luas dan bervariasi.

Jika kita mempunyai pelbagai pendekatan untuk memastikan fizikal tubuh badan kita sihat, bagaimana pula pendekatan yang sepatutnya kita lakukan untuk memastikan emosi dan keadaan mental kita sihat?

Golongan remaja merupakan golongan paling rentan dalam berhadapan dengan pelbagai perubahan; situasi yang turut dipengaruhi oleh perubahan transisi hormon serta tahap penerimaan terhadap sesuatu realiti yang terjadi atau juga terhadap apa sahaja keputusan yang perlu dilakukan.

Media berperanan memberikan motivasi positif kepada masyarakat supaya tidak keterlaluan menyiarkan berita sensasi yang membawa persepsi negatif baik kepada pemangsa mahu pun mangsa. Kedua-dua pihak nyatanya perlu dibantu.

Keadilan perlu diperolehi bukan sahaja terhadap hukuman yang melibatkan undang-undang namun keadilan strata dalam konteks pemulihan serta menjurus kepada pembinaan masyarakat yang lebih konstruktif.

Pihak ilmuwan dan agamawan juga perlu turun padang memberikan pelbagai pengisian yang dapat mengisi jurang dalam pembinaan keluarga dan masyarakat yang sihat.

Fokus bersifat keuntungan dalam program motivasi perlu dimodifikasi ke arah pengisian yang lebih menitikberatkan kesan jangka masa panjang.

Golongan ibu bapa antara pemegang taruh paling penting dalam memastikan kesinambungan erat kasih sayang yang membawa kepada rasa self esteem, pembinaan keyakinan anak-anak serta sifat saling mengasihi sesama insan.

Sudah sampai masanya aspek pembinaan sikap, tutur bicara, komunikasi serta pergaulan dalam struktur masyarakat diberikan penilaian rubrik yang positif.

Kecemerlangan hidup beretika perlu mendapat pengiktirafan sama seperti kecemerlangan akademik. Sumbangan diperingkat kerjaya kalangan ibu bapa pula perlu dinilai bersama sumbangan sukarela terhadap aktiviti yang memupuk kesejahteraan anak-anak remaja dalam masyarakat.

Aktiviti pendidikan di rumah disyorkan untuk disusun semula sebagai pelengkap terhadap suasana pendidikan di sekolah. Sudah sampai masanya masyarakat meletakkan institusi keluarga sebagai sesuatu yang sangat utama dalam melahirkan jiwa-jiwa insan yang mempunyai sifat penyayang.

Untuk itu, lontaran-lontaran yang memberikan komen negatif terhadap sekolah perlu disaksamakan dengan pemberat dalam strategi pendidikan tidak rasmi yang melibatkan keluarga dan masyarakat.

Fokus kesihatan emosi dan mental pula perlu diterapkan dengan memanfaatkan platform sedia ada iaitu melalui aktiviti semasa pendidikan jasmani, aktiviti kokurikulum serta program-program bersifat motivasi.

Pihak sekolah sewajarnya tidak menunggu Pasukan Kesihatan Sekolah hadir menyediakan perkhidmatan saringan mahupun vaksinasi sahaja sambil mengenepikan peranan kesihatan dalam menyumbang kepada suasana mental dan emosi yang sihat.

Di sini juga membuka ruang peranan sukarelawan kesihatan mental dan aktivis sosial yang perlu dipergiatkan terutama untuk menyeimbangkan serangan-serangan virtual yang bersifat negatif terhadap kestabilan emosi anak-anak remaja.

Mereka juga berperanan memberikan nasihat kesihatan yang bersifat kontemporari dan realistik.

Di pihak autoriti dan pembuat polisi, kajian dan strategi lebih menyeluruh disarankan untuk diperkemaskan terhadap semua kandungan media sosial yang agak rentan dan sensitif terhadap pertumbuhan dan kematangan minda remaja.

Hiburan bersifat keganasan, buli, aktiviti jenayah keterlaluan perlu ditapis dan dihadkan serta dikawalatur melalui pertimbangan semula peraturan sedia ada, Klasifikasi kandungan-kandungan media yang bersifat melampaui norma pembangunan emosi dan minda yang sihat perlu diperketatkan.

Akhir sekali, diharapkan juga penglibatan ikon masyarakat hendaknya sentiasa bersifat patriotik ke arah pembangunan masa depan negara.

Ia sewajarnya bersifat ‘genuine’ terhadap pembangunan masa depan bukan bersifat sementara yang cenderung mementingkan kemenangan pemilihan pimpinan masyarakat atau pulangan jangka masa pendek yang sementara.

Anak remaja yang ‘bermetamorfosis’ menjadi pemangsa ganas, dan anak-anak yang menjadi mangsa; kedua-dua pihak merupakan anak-anak masyarakat dan negara.

Tanggungjawab kita bersama memberikan sumbangan bernas dan konstruktif ke arah masa depan negara yang lebih sejahtera. Sudah pasti dengan usaha-usaha berkenaan, kita juga perlu tidak lupa untuk saling mendoakan untuk kebaikan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Malina Osman
Pensyarah
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
E-mel: malinaosman@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.