Malaysia mahu rundingan bantuan padam kebakaran Kalimantan disegerakan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Oktober – Malaysia berharap rundingan terperinci mengenai mekanisme operasi dan penempatan pasukan bantuan untuk memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia dapat disegerakan susulan keadaan jerebu yang semakin teruk di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Indonesia beri prinsip persetujuan bantuan; perincian gerak kerja sedang dirundingkan antara kedua negara.
  • Mohamad Hasan mahu perbincangan dimuktamadkan segera supaya pasukan Malaysia boleh dihantar ke lokasi dikenal pasti.
  • Rundingan perlu menyelesaikan mekanisme operasi termasuk kaedah dan lokasi penugasan pasukan Malaysia.
  • Malaysia sedia membantu rakan sejawat Indonesia memadamkan kebakaran hutan yang merebak di Kalimantan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, prinsip persetujuan bagi bantuan itu telah diberikan Presiden Indonesia, manakala perincian mengenai gerak kerja operasi kini sedang dirundingkan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata perbincangan berkenaan perlu dimuktamadkan segera bagi membolehkan pasukan Malaysia dihantar ke lokasi yang dikenal pasti untuk membantu memadamkan kebakaran hutan yang berlaku secara meluas di Kalimantan.

“Saya berharap rundingan mengenai mekanisme operasi, termasuk kaedah dan lokasi penugasan pasukan Malaysia, dapat disegerakan.

“Ini kerana keadaan jerebu di negara kita semakin teruk, melebihi paras tidak sihat dan hampir memasuki indeks berbahaya,” katanya.

Datuk Seri Mohamad juga berharap mekanisme operasi antara kedua-dua negara dapat diputuskan segera bagi membolehkan Malaysia membantu rakan sejawatannya di Indonesia menangani kebakaran hutan yang semakin meluas.

“Jadi, saya berharap urusan operasi antara kedua-dua negara dapat disegerakan dan diputuskan, supaya kita dapat menghantar pasukan untuk membantu rakan-rakan di Indonesia memadamkan kebakaran hutan yang merebak di Kalimantan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.