
KUALA LUMPUR, 7 Oktober –Seramai 53 penyewa tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC), membabitkan 49 rumah ibadat dan empat sekolah bantuan modal, kini menikmati kadar sewaan khas hanya RM1 sebulan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kadar berkenaan berkuat kuasa 1 Oktober lepas bagi menyeragamkan kadar sewaan tanah di sepanjang jajaran kereta api, yang sebelum ini berbeza antara RM100 hingga RM150 sebulan.
- Kerajaan menetapkan kadar sewaan seragam menggantikan kadar berbeza sebelum ini antara RM100 hingga RM150 sebulan.
- Pelaksanaan kadar khas adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporat dan memberi kemudahan kepada penyewa.
- Tempoh sewaan ditawarkan tiga tahun dengan dua opsyen lanjutan, keseluruhan sehingga sembilan tahun; tanah kekal berstatus rizab dan bukan untuk pemilikan kekal.
“Dahulu kita tidak mempunyai satu dasar yang jelas. Ada yang dikenakan kadar nominal yang tidak mengikut kadar pasaran. Ada yang dikenakan RM100 dan ada yang RM150, jadi kadarnya tidak seragam”
“Jadi kita telah mengambil satu keputusan untuk menetapkan satu kadar nominal yang sama kepada semua rumah ibadat dan sekolah di sepanjang jajaran ini, iaitu RM1 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Majlis Penyerahan Surat Makluman Kadar Sewaan Khas di sini, hari ini.
Beliau berkata berkata pelaksanaan kadar khas itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain memberi kemudahan kepada penyewa yang sebelum ini dikenakan kadar berbeza.
Beliau berkata penyewa ditawarkan tempoh sewaan selama tiga tahun dengan opsyen lanjutan bagi dua tempoh tambahan pada kadar sama, menjadikan keseluruhan tempoh sewaan sehingga sembilan tahun.
Katanya, pendekatan itu turut memudahkan urusan penyewa kerana permohonan baharu hanya perlu dikemukakan dan ditandatangani selepas tempoh sewaan berkenaan berakhir.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tanah berkenaan berstatus tanah rizab dan tidak boleh diberikan secara kekal kepada penyewa.
“Selagi kita tidak membangunkan landasan, mereka boleh tinggal di situ. Tetapi apabila ada projek pembangunan kerajaan, sebagai contoh penambahan trek yang memerlukan tanah tersebut, maka ianya perlu dikembalikan kepada kerajaan,” katanya.