
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Monsun bermula 9 Oktober ini.
- Perubahan cuaca cepat termasuk ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat.
- Keselamatan rakyat kekal keutamaan; pihak berkuasa menekankan langkah berjaga-jaga semasa cuaca tidak menentu.
- Orang ramai diminta peka terhadap ramalan dan amaran cuaca serta ikuti langkah keselamatan semasa ribut petir.
- Elakkan kawasan lapang, struktur tinggi, pokok dan takungan air; segera berlindung di tempat selamat.
Keadaan itu dijangka berterusan sehingga penghujung bulan ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu hantaran di Facebook berkata, Fasa Peralihan Monsun daripada Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut lazimnya membawa perubahan cuaca dengan cepat.
“Termasuk kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Menurutnya, aspek keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam menghadapi keadaan cuaca tidak menentu itu.
Beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa peka terhadap ramalan dan amaran cuaca serta mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya ketika berlakunya ribut petir.
“Elakkan berada di kawasan lapang, jauhkan diri daripada struktur tinggi, pokok dan kawasan takungan air serta segera berlindung di tempat yang selamat,” jelasnya.
Permulaan Fasa Peralihan Monsun ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 14 Mei lalu.