
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Tindakan pencegahan awal termasuk mengenal pasti simptom dan petanda perlakuan buli perlu diberi keutamaan dalam usaha menangani gejala berkenaan di sekolah, kata pakar pendidikan.
- Utamakan pengesanan tanda dan simptom buli supaya intervensi segera dan pencegahan berkesan dapat dilaksanakan.
- Perkukuh pemantauan murid, sokongan kesihatan mental, dan kawalan keselamatan termasuk pemasangan CCTV di sekolah.
- Galakkan pelaporan telus serta siasatan menyeluruh agar tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap pelaku.
- Pertingkatkan peranan PIBG serta kerjasama sekolah, ibu bapa dan komuniti untuk membanteras gejala buli.
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pendekatan disiplin selepas kejadian buli berlaku mungkin sudah terlambat, justeru usaha mengesan tanda awal perlu diperkukuh.
Beliau berkata aspek kesihatan mental, pemantauan murid serta kawalan keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Yang lebih penting adalah memastikan kita dapat melakukan pencegahan awal dengan mengenal pasti simptom, petanda atau isyarat wujudnya perlakuan buli.
“Aspek kesihatan mental, pemantauan serta kawalan keselamatan seperti CCTV amat penting untuk diberi perhatian oleh kementerian. Kita sedia maklum sebahagian besar isu buli berpunca daripada latar belakang keluarga, masalah kesihatan mental murid, serta pengaruh persekitaran mahupun rakan sebaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peringatan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek supaya pihak pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak menyembunyikan sebarang masalah sekolah, termasuk isu buli.
Dr Anuar berkata pelaporan secara telus penting bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang terbabit.
“Ini penting kerana apabila pelaporan dilakukan dan kes-kes buli disiasat, ia akan menyumbang kepada usaha kita mengekang isu ini daripada terus berlaku.
“Kita mengharapkan supaya perlakuan buli ini dilaporkan dan disiasat, agar tindakan boleh dikenakan ke atas mereka yang melakukan perbuatan tidak bermoral ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru supaya peranan PIBG diperkasakan dan diberi nafas baharu bagi membantu membanteras gejala buli.
Katanya, kerjasama antara sekolah, PIBG dan masyarakat penting kerana isu buli turut mempunyai kaitan dengan persekitaran keluarga, selain pengaruh rakan sebaya.
“Jadi saya menyeru supaya PIBG di negara ini diperkasakan, ditingkatkan fungsinya, serta diberi ruang untuk berperanan lebih berkesan dalam sistem pendidikan negara.
“Kita mahu melihat ibu bapa berganding bahu bersama-sama guru dalam menjayakan sistem pendidikan yang lebih baik dan berkualiti demi masa depan anak-anak,” katanya.