Tindakan susulan audit pulihkan lebih RM920 juta wang awam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Tindakan susulan hasil pengauditan Jabatan Audit Negara berjaya menyumbang kepada kutipan hasil serta bayaran balik kepada kerajaan berjumlah RM920.91 juta setakat 28 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengauditan bukan sekadar kenal kelemahan, tetapi memastikan tindakan pembetulan diambil.
  • Tindakan susulan berkesan penting untuk membendung ketirisan dan mengoptimumkan pengurusan kewangan serta pentadbiran kerajaan.
  • Arahan kepada kementerian, jabatan dan agensi: jangan pandang teguran audit sebagai serangan; jadikan ia peluang perbaiki sistem dan lindungi wang rakyat.
  • LKAN 2/2026 mengandungi dua bahagian, 38 syor; setiap susulan perlu nyatakan pihak bertanggungjawab, langkah, tempoh penyelesaian dan mekanisme pemantauan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pencapaian itu membuktikan proses pengauditan bukan sekadar mengenal pasti kelemahan, malah mampu memastikan tindakan pembetulan diambil terhadap isu yang dibangkitkan.

Menurut beliau, tindakan susulan yang berkesan terhadap penemuan audit penting bagi memastikan ketirisan dapat dibendung selain mengoptimumkan pengurusan kewangan dan pentadbiran kerajaan.

“Ini bukan jumlah yang kecil. Ia membuktikan bahawa audit yang disusuli dengan tindakan sewajarnya mampu menghasilkan pemulihan wang awam yang nyata.

Maka, mesej saya kepada semua kementerian, jabatan dan agensi adalah jelas. Jangan melihat teguran audit sebagai satu serangan, sebaliknya jadikan ia sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan, memperkukuh sistem dan memastikan wang rakyat terus dilindungi,” katanya ketika membentangkan usul berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu merangkumi dua bahagian utama melibatkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2025 serta pengauditan prestasi terhadap empat program atau aktiviti kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, sebanyak 38 syor dikemukakan menerusi laporan berkenaan, dengan setiap tindakan susulan perlu memperincikan pihak yang bertanggungjawab, langkah penambahbaikan, tempoh penyelesaian serta mekanisme pemantauan.

Perbahasan LKAN di Dewan Rakyat amat penting bagi memastikan setiap penemuan audit diberi perhatian dan tindakan sewajarnya, sekali gus menjamin prinsip akauntabiliti terus diperkukuh dalam pengurusan kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.