Pengeluaran sawit negara catat prestasi positif

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Malaysia berpotensi melepasi sasaran pengeluaran minyak sawit di antara 19.5 juta hingga 19.8 juta tan tahun ini, dengan 10.8 juta tan direkodkan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi pengeluaran sawit menunjukkan perkembangan positif, disokong langkah pemasaran agresif dan usaha perkukuhan hubungan antarabangsa oleh kementerian.
  • Kementerian dan industri menggalakkan produk hiliran bernilai tambah seperti oleokimia, kosmetik dan ramuan khusus untuk meningkatkan nilai eksport negara.
  • Kerajaan menyokong pekebun kecil melalui bantuan, latihan dan pensijilan MSPO, sambil memacu pembangunan biojisim dipelopori oleh industri.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, prestasi pengeluaran berkenaan menunjukkan perkembangan positif bagi industri sawit negara.

“Pengeluaran semasa adalah selari dengan fokus kita, dan memang kita menyasarkan adanya peningkatan. Walaupun kini telah memasuki bulan Oktober, kita masih mempunyai masa dua bulan lagi.

“Saya memandangnya dari sudut positif dan insya-Allah, melalui pemasaran yang agresif oleh pihak industri, sekurang-kurangnya kita dapat mencapai paras yang setara dengan pengeluaran (eksport) tahun lalu,” katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Kuala Lumpur 2026, di sini, hari ini.

Datuk Seri Dr. Noraini menjelaskan, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan kementerian menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memperkasakan pemasaran produk sawit di pasaran antarabangsa.

Selain itu, pemain industri turut digalakkan memberi tumpuan kepada produk hiliran dan bernilai tambah seperti ramuan khusus, oleokimia serta kosmetik.

“Sebagai contoh, hasil lawatan kita ke Shanghai baru-baru ini, mereka menggunakan produk bahan ramuan yang memberikan nilai tambah (*added value*). Langkah penambahbaikan dan fokus kepada nilai tambah ini secara tidak langsung mampu meningkatkan nilai eksport negara,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Noraini menegaskan bahawa Malaysia akan terus memperkukuh pasaran minyak sawit sedia ada selain meneroka peluang baharu di rantau Afrika, ASEAN, Timur Tengah dan kawasan lain.

Kepelbagaian pasaran itu disifatkan penting bagi meningkatkan daya tahan industri serta membina rantaian pelanggan baharu.

“Kerjasama yang kukuh amat penting. Malaysia akan terus menjalin hubungan membina dengan pihak kerajaan, pengawal selia dan rakan industri antarabangsa. Kami kekal komited untuk menjadi pembekal yang dipercayai dan rakan konstruktif kepada industri minyak sawit global,” katanya.

Beliau menambah, kementerian juga terus menyokong kira-kira 450,000 pekebun kecil yang menguruskan hampir 1.5 juta hektar kawasan tanaman sawit, merangkumi 27 peratus daripada keseluruhan kawasan sawit negara melalui penyediaan bahan tanaman berkualiti, latihan, bantuan kewangan dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Malaysia telah mengeksport lebih 9.1 juta tan minyak sawit.

Sementara itu, menyentuh mengenai industri biojisim berasaskan sawit, kerajaan terus mendorong pembangunannya walaupun tidak menetapkan sasaran peratusan khusus bagi pengkomersialan.

“Peranan kementerian adalah sebagai pemudah cara, terutamanya dari sudut penyelarasan dasar. Pelaksanaan dan padanan perniagaan pula akan diterajui oleh pihak industri sendiri yang kini semakin aktif meneroka bidang biojisim berbanding hanya bergantung pada minyak sawit mentah,” jelas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.