
LABUAN, 7 Oktober – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat berkaitan Belanjawan 2027 yang diterima menerusi media sosial, sebaliknya membuat semakan dengan sumber rasmi.
- Waspada terhadap gambar, logo dan elemen berita yang disalahgunakan untuk menghasilkan grafik palsu berkaitan Belanjawan 2027.
- Ikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan sebelum membuat perbandingan dengan maklumat yang tersebar di media sosial.
- Sahkan dakwaan bantuan atau peruntukan melalui laporan rasmi seperti Bernama atau RTM sebelum berkongsi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, terdapat kemungkinan pihak tertentu menggunakan gambar, logo dan elemen berita untuk menghasilkan grafik yang kelihatan seperti maklumat rasmi Belanjawan, sedangkan kandungannya tidak mempunyai kaitan dengan pembentangan sebenar.
“Saya jangkakan mungkin ada pihak yang akan mendahului ucapan Perdana Menteri dengan menyalahgunakan gambar, logo dan elemen berita untuk menghasilkan grafik yang sebenarnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kementerian Komunikasi di Labuan.
Sehubungan itu, Datuk Seri Fahmi menegaskan, orang ramai perlu berwaspada dan mengikuti pembentangan Belanjawan 2027 yang akan disiarkan secara langsung sebelum membuat perbandingan dengan sebarang maklumat yang tersebar di media sosial.
Katanya, sebarang dakwaan berkaitan bantuan atau peruntukan perlu disemak terlebih dahulu menerusi laporan media rasmi bagi memastikan kesahihannya.
“Bandingkan apa-apa maklumat yang disebarkan di media sosial dengan laporan rasmi. Sekiranya sesuatu kandungan mendakwa menerima bantuan dalam jumlah tertentu, semak terlebih dahulu sama ada Bernama atau RTM melaporkan perkara berkenaan,” katanya.