Hadiah Bahasa kembali selepas 18 tahun, terima 790 karya

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Hadiah Bahasa Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kembali dianjurkan selepas hampir 18 tahun terhenti, dengan edisi tahun ini menerima lebih 790 karya dan penyertaan daripada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program ini platform penting membuka ruang kepada penulis, pendidik dan pelajar memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu.
  • Usaha memperkasa Bahasa Melayu perlu melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk murid, pelajar institusi pendidikan tinggi dan pendidik.
  • Penganjuran semula mencerminkan kerjasama sektor korporat dan kerajaan dalam memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu.
  • Edisi ini melibatkan lima kategori dan 45 pemenang menerima pengiktirafan menerusi program berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, program berkenaan merupakan platform penting untuk membuka ruang dan peluang kepada penulis, pendidik serta pelajar dalam menghasilkan karya dan memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu.

Usaha memperkasa Bahasa Melayu perlu melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuk murid sekolah, pelajar institusi pendidikan tinggi, pendidik dan penulis.

“Sebagai anak Malaysia, kita bersama sama menyumbang kepada negara yang kita cintai dengan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya ketika merasmikan program itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, walaupun Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum serta sistem pendidikan yang pelbagai, penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, tambah beliau, kepelbagaian kaum dan bahasa di Malaysia seharusnya dilihat sebagai keunikan serta kekuatan yang dapat menyumbang kepada pembentukan sebuah negara yang bersatu padu.

“Tidak ada negara seperti Malaysia yang tercinta mempunyai rakyat daripada pelbagai kaum, termasuk Cina, India, Melayu serta Orang Asli dan pribumi, dapat duduk bersama dan belajar di sekolah yang sama.

“Walaupun kadangkala kita menggunakan bahasa yang berbeza, kita tetap berkongsi satu hati, satu tekad dan satu usaha untuk memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang bersatu padu,” tambahnya.

Menurut beliau, penganjuran semula Hadiah Bahasa turut mencerminkan kerjasama antara sektor korporat dengan kerajaan dalam usaha memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu.

Program berkenaan pada asalnya diperkenalkan pada 1983 dan dianjurkan setiap tahun sehingga 1998 sebelum kembali dilaksanakan semula pada tahun lalu.

Edisi tahun ini melibatkan lima kategori dengan 45 pemenang menerima pengiktirafan menerusi program berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Public Bank dan DBP atas komitmen menjayakan semula Hadiah Bahasa, selain berharap program berkenaan terus menjadi wadah untuk menggalakkan masyarakat menghasilkan karya dan memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.