DBKL peruntuk RM2.24 juta naik taraf PPR Wangsa Sari

Foto DBKL

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.24 juta bagi kerja penyelenggaraan dan peningkatan kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Wangsa Maju.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja naik taraf termasuk mengecat, menggantikan sub-main cable dan main switch board serta meningkatkan sistem keselamatan kebakaran bagi 272 unit dimanfaatkan 1,061 penduduk.
  • DBKL memperuntukkan RM200,000 bagi pembinaan jejantas pejalan kaki merentasi rizab Sungai Bunus untuk laluan lebih selamat, dijangka siap hujung tahun.
  • Hampir 70 peratus daripada 64 PPR telah siap dinaik taraf; perbelanjaan RM300 juta dijangka capai 90 peratus penyelesaian menjelang akhir tahun.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, peruntukan itu membabitkan kerja mengecat bangunan, menaik taraf dan menggantikan sub-main cable serta main switch board, selain meningkatkan sistem keselamatan kebakaran.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan 272 unit kediaman yang dihuni 1,061 penduduk.

“Peruntukan ini melibatkan kerja mengecat bangunan, menaik taraf dan menggantikan sub-main cable serta main switch board, selain peningkatan sistem keselamatan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan turun padang Program Penyelenggaraan Perumahan Awam DBKL di Wangsa Maju.

Datuk Seri Fadlun berkata, hampir 70 peratus daripada keseluruhan 64 PPR di Kuala Lumpur telah siap dinaik taraf, manakala perbelanjaan RM300 juta yang diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan peningkatan kemudahan dijangka mencapai 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

Dalam perkembangan sama, DBKL turut memperuntukkan RM200,000 bagi pembinaan jejantas pejalan kaki dari PPR Wangsa Sari merentasi rizab Sungai Bunus bagi menyediakan laluan lebih selamat kepada penduduk.

Projek itu turut dijangka membantu mengurangkan risiko keselamatan di laluan berkenaan dan disasarkan siap hujung tahun ini.

Fadlun berkata DBKL turut meneliti penyediaan ruang parkir tambahan berikutan jumlah tempat letak kenderaan sedia ada tidak mencukupi berbanding jumlah unit kediaman.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menggesa penduduk bekerjasama menjaga kemudahan yang telah dinaik taraf, termasuk bangunan yang dicat semula.

Beliau berkata pemilihan warna neutral bagi bangunan PPR Wangsa Sari merupakan sebahagian usaha mengembalikan maruah dan keselesaan kepada penduduk.

“Saya harap wakil-wakil penduduk dan semua akan bantu menjaga. Kita telah cat semula bangunan dan warna ini dipilih oleh Datuk Bandar sendiri bagi memastikan ‘returning dignity to people’.

“Saya setuju rumah PPR ini selalunya terlalu banyak warna, tetapi sekarang semua warna neutral dan saya harap penduduk PPR menjaga kemudahan yang telah dinaik taraf ini dengan baik,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.