
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak sekeras-kerasnya amalan politik toksik serta eksploitasi sentimen perkauman dan agama demi kepentingan kuasa politik.
- Kekurangan persefahaman budaya dan politik identiti punca utama pergolakan dalam masyarakat.
- Wajib cegah perbezaan menjadi jurang perpecahan kekal dengan mengetepikan kepentingan yang mencetuskan ketegangan politik.
- Malaysia mesti pertahankan kepelbagaian peradaban, budaya dan agama melalui ruang memahami, menghormati dan sikap toleransi.
Beliau menegaskan, kekurangan persefahaman budaya dan penularan politik identiti kini menjadi antara punca utama yang mencetuskan pergolakan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru semua pihak supaya menolak pendekatan politik sedemikian bagi memastikan perbezaan yang wujud tidak berkembang menjadi jurang perpecahan yang kekal.
“Saya bersungguh-sungguh percaya bahawa semua insan yang berfikiran waras, sama ada di dalam negara mahupun di mana-mana jua di dunia, mesti menolak percubaan yang tidak bertanggungjawab dan jahat ini.
“Mengetepikan soal politik, menjadi kewajipan kita untuk tidak membiarkan perbezaan berlarutan menjadi punca perpecahan kekal dan memastikan identiti tidak terus-menerus dijadikan punca keretakan politik dan kemasyarakatan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada Sidang Kemuncak Inisiatif Peradaban Global Malaysia bersempena Festival Kebudayaan Peradaban Islam–Konfusianisme 2026 di ibu negara.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia yang terbentuk hasil pertemuan pelbagai peradaban, budaya dan agama sejak beribu tahun lalu perlu terus mempertahankan kepelbagaian sebagai sebahagian daripada sejarah dan identiti negara.
Justeru, beliau menyeru supaya masyarakat diberi ruang untuk memahami dan menerima perbezaan, selain saling menghormati antara satu sama lain dengan sikap terbuka dan toleransi.