El Nino semakin kuat, dijangka memuncak pada Disember

Foto Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO)

GENEVA, 8 Oktober – El Nino akan menjadi semakin kuat sebelum mencapai tahap kemuncak pada Disember.

RINGKASAN BERITA AI
  • WMO memberi amaran El Nino mungkin antara yang terkuat sejak 1950.
  • Fenomena dijangka membawa suhu lebih tinggi, mengubah corak hujan dan meningkatkan risiko kemarau serta banjir.
  • Suhu permukaan laut Pasifik tengah-timur dijangka mencapai anomali rekod, memberi kesan besar kepada ekonomi dan ekosistem.

Demikian menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, sambil memberi amaran bahawa fenomena itu mungkin antara yang paling kuat pernah direkodkan sejak sekurang-kurangnya tahun 1950.

Fenomena cuaca semula jadi itu dijangka membawa suhu lebih tinggi ke sebahagian besar dunia, dengan kesannya turut memburukkan lagi kesan perubahan iklim akibat aktiviti manusia.

“El Nino akan terus menguat sebelum mencapai kemuncak yang dijangka pada Disember. Ia berkemungkinan membawa suhu melebihi purata ke sebahagian besar dunia dan mengubah corak hujan, sekali gus meningkatkan risiko kemarau dan banjir di pelbagai rantau,” kata Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) dalam Kemas Kini Iklim Bermusim Global bulanan.

El Nino menyebabkan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa meningkat, lalu mencetuskan perubahan global dalam corak angin, tekanan atmosfera dan taburan hujan.

Fenomena itu lazimnya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan kira-kira sembilan hingga 12 bulan.

Keadaan cuaca berayun antara El Nino dengan fenomena bertentangannya, La Nina dengan keadaan neutral berlaku di antaranya.

“Suhu permukaan laut di kawasan tropika Pasifik tengah dan timur diramalkan meningkat ke paras rekod sepanjang Oktober-November-Disember 2026, mencerminkan pengukuhan fenomena El Nino yang akan mempengaruhi corak cuaca serta memberi kesan kepada ekonomi, ekosistem dan masyarakat di seluruh dunia,” kata WMO.

Ramalan itu berdasarkan konsensus 13 pusat meteorologi nasional dan antarabangsa terkemuka.

Menurut Ketua WMO Celeste Saulo, El Nino sudah terbentuk dengan kukuh dan semakin menguat dengan pantas.

“Jangkaan WMO menunjukkan kebarangkalian hampir 100 peratus bahawa fenomena ini akan berterusan sehingga Februari 2027, dan berpotensi menjadi antara yang terkuat sejak sekurang-kurangnya 1950,” katanya.

Jelas Saulo, El Nino tidak menambahkan haba baharu kepada planet ini, sebaliknya melepaskan haba yang tersimpan di lautan.

“Lautan yang menjadi sumber haba itu adalah yang paling panas pernah kita ukur. Terdapat lebih banyak haba yang boleh dilepaskan,” katanya.

Indeks yang mengukur anomali suhu permukaan laut di kawasan tengah-timur Pasifik khatulistiwa — rantau yang menjadi teras fenomena El Nino — meningkat daripada 1.6 darjah Celsius melebihi paras normal pada Jun kepada 2.5 darjah Celsius pada Ogos.

Bagi tempoh Oktober-November-Disember, anomali itu diramalkan mencecah kira-kira 3.7 darjah Celsius melebihi paras normal.

Jika berlaku, ia akan menjadi paras tertinggi sejak rekod pemerhatian bermula, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 2.6 darjah Celsius yang dicatatkan pada 2015-2016.

El Nino sebelum ini menjadikan 2023, tahun kedua paling panas pernah direkodkan, manakala 2024 mencatat rekod tahun paling panas dengan suhu kira-kira 1.55 darjah Celsius melebihi purata era praindustri 1850-1900.

Walaupun El Nino biasanya memuncak antara November hingga Februari, peningkatan suhu yang terhasil lazimnya berlaku kemudian.

Fenomena El Nino kali ini sudah memberi kesan buruk kepada beberapa rantau, termasuk Amerika Tengah apabila haiwan dan tanaman mati akibat kemarau. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.