GeoSAWIT pacu pendigitalan industri sawit

Foto FB Kementerian Perladangan dan Komoditi – KPK

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan Portal GeoSAWIT, platform geospatial nasional yang berperanan memetakan serta mengesahkan lokasi dan sempadan kawasan tanaman sawit di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • GeoSAWIT merangkumi ladang estet dan pekebun kecil, memacu pendigitalan keseluruhan rantaian industri sawit.
  • MPOB memperoleh data landskap sawit lebih tepat untuk pemantauan guna tanah, penilaian risiko dan pematuhan.
  • Sistem digital seperti SIMS dan GeoSAWIT meningkatkan ketelusan serta kebolehjejakan, mengukuhkan keyakinan pembeli global terhadap minyak sawit Malaysia.

Platform itu merangkumi kawasan tanaman sawit termasuk ladang estet dan pekebun kecil, sekali gus menjadi antara langkah penting dalam usaha mendigitalkan rantaian industri sawit negara.

Inisiatif berkenaan turut membolehkan MPOB memperoleh data yang lebih tepat mengenai landskap tanaman sawit negara bagi membantu pemantauan penggunaan tanah, penilaian risiko serta menyokong keperluan pematuhan pasaran.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan sistem kebolehjejakan merupakan sebahagian daripada strategi penjenamaan minyak sawit Malaysia di pasaran global.

“Penggunaan sistem digital seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWIT menyokong ketelusan serta kebolehjejakan rantaian bekalan.

“Usaha ini membantu membina keyakinan pembeli terhadap minyak sawit Malaysia. Mereka mahukan produk yang berkualiti dan maklumat yang jelas mengenai sumbernya.

“Dengan pengurusan yang cekap serta amalan yang bertanggungjawab, kita mempunyai asas penting untuk terus memperkukuhkan keyakinan tersebut,” katanya dalam Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026, di sini.

Anugerah dwitahunan itu merupakan platform pengiktirafan kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi serta MPOB kepada penggiat industri yang menunjukkan kecemerlangan di sepanjang rantaian industri sawit.

Seramai 36 pemenang daripada 12 kategori menerima pengiktirafan melibatkan sektor huluan, pertengahan dan hiliran, selain Anugerah Khas Rakan Strategik dan Anugerah Pengeksport Produk Sawit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.