
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Semua aktiviti luar bilik darjah termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan hendaklah dihentikan serta-merta di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100.
- Sekolah ditutup serta-merta jika bacaan IPU melebihi 200.
- Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dilaksanakan mengikut kesesuaian, utamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid.
- JPN, PPD dan sekolah perlu memantau bacaan IPU melalui laman Jabatan Alam Sekitar dan pastikan bekalan air minuman bersih mencukupi.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan arahan itu sebagai langkah memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa terpelihara susulan situasi jerebu yang melanda negara.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM turut diarahkan memantau rapat keadaan jerebu di lokasi masing-masing untuk tindakan selanjutnya.
Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta.
Dalam perkembangan berkaitan, institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Johor di daerah Batu Pahat ditutup sementara mulai 7 Oktober sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan berdasarkan kesesuaian serta ketetapan semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid.
KPM turut mengingatkan institusi pendidikan supaya memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
JPN, PPD dan semua institusi pendidikan juga perlu memantau bacaan IPU dan status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.