
KANGAR, 8 November – Lebih 300 penduduk Kampung Seriab di sini memeriahkan Program Seriab Kampung Kita 2026 yang bertujuan memperkukuh perpaduan serta memperkasakan institusi keluarga menerusi aktiviti kemasyarakatan.
- Program menjadi platform menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, dari kanak-kanak hingga warga emas melalui aktiviti santai.
- Penganjuran berkala dan pelbagai aktiviti mengeratkan hubungan kejiranan serta memupuk semangat saling mengenali dan bekerjasama.
- Program menampilkan aktiviti seperti pertandingan memancing, pameran dan jualan produk, cabutan bertuah, pertandingan mewarna dan kenduri kampung.
- Komuniti menerima peruntukan RM100,000 melalui Projek SejaTi MADANI untuk melaksanakan Sistem Tanaman Hidroponik Lestari dan manfaat pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Seriab, Yusof Ahmad berkata sambutan menggalakkan penduduk setiap kali program itu dianjurkan membuktikan semangat kerjasama dan keharmonian komuniti setempat.
Beliau berkata program itu turut menjadi platform menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas, menerusi aktiviti santai yang bersesuaian dengan minat penduduk.
Katanya, penganjuran program secara berkala dengan pengisian pelbagai aktiviti bukan sahaja mengeratkan hubungan kejiranan, malah memupuk semangat saling mengenali dan bekerjasama dalam kalangan penduduk.
Beliau berkata demikian pada Program Seriab Kampung Kita 2026 dan Perasmian Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) Kampung Seriab yang disempurnakan Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar, Kamarudin Malek.
Antara aktiviti yang diadakan ialah pertandingan memancing, pameran dan jualan produk, cabutan bertuah, pertandingan mewarna kanak-kanak serta kenduri kampung.
Sementara itu, komuniti Kampung Seriab menerima peruntukan RM100,000 menerusi Projek SejaTi MADANI bagi melaksanakan Sistem Tanaman Hidroponik Lestari.
Pelaksanaan projek itu diharap dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi pengembangan aktiviti pertanian berasaskan sistem hidroponik.