
JOHOR BAHRU, 7 Oktober – Semua sekolah di Johor akan ditutup sementara selama dua hari bermula esok berikutan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara ketika ini.
- Penutupan melibatkan 1,198 sekolah dan 617,258 murid di seluruh negeri.
- Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan.
- Pelaksanaan MPT4 dan mana-mana pentaksiran ditangguhkan dan dijadual semula mengikut ketetapan JPNJ.
- Bacaan Indeks Pencemaran Udara di Johor mencatat tahap tidak sihat antara 167 hingga 179 setakat 7 malam.
EXCO Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Ghazali berkata, penutupan itu melibatkan 1,198 sekolah dengan 617,258 murid di seluruh negeri.
Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan.
Katanya, pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran turut ditangguhkan dan akan dijadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).
Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama majikan memberikan fleksibiliti kepada ibu bapa yang bekerja bagi membolehkan mereka menguruskan anak masing-masing sepanjang tempoh dua hari penutupan sekolah.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor masih menunjukkan tahap tidak sihat, iaitu antara 167 hingga 179 setakat 7.00 malam tadi.