Perkukuh kapasiti domestik hadapi perubahan ekonomi global

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir ketika berucap pada penutupan Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Malaysia perlu memperkukuh keupayaan domestik bagi memanfaatkan peluang yang semakin terbuka susulan perubahan keseimbangan kuasa global, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh asas ekonomi bagi membolehkan penyesuaian strategi terhadap perkembangan ekonomi dan geopolitik.
  • Mengekalkan keterbukaan ekonomi serta membina pengaruh melalui kepakaran khusus dan kredibiliti ekonomi.
  • Seimbangkan prestasi semasa dengan penerokaan sumber pertumbuhan baharu untuk membina daya tahan dan fleksibiliti organisasi.

Datuk Amirul berkata, perubahan landskap global membuka ruang kepada negara berkuasa pertengahan seperti Malaysia untuk memperluas pengaruh dan kepentingan ekonomi.

Katanya, peluang itu perlu disokong asas ekonomi yang kukuh supaya negara dapat menyesuaikan tindak balas terhadap perkembangan ekonomi dan geopolitik.

“Memiliki ruang adalah satu perkara, tetapi membina keupayaan untuk menggunakannya adalah perkara yang lain.

Bagi Malaysia, mesejnya cukup praktikal, kita tidak dapat menentukan bagaimana kuasa-kuasa besar bertindak, tetapi kita mempunyai keupayaan untuk menentukan bagaimana kita bertindak balas,” katanya ketika berucap pada penutupan Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 di sini, hari ini.

Datuk Amirul berkata, Malaysia juga perlu mengekalkan keterbukaan ekonomi serta membina pengaruh menerusi kepakaran khusus dan kredibiliti ekonomi.

Dalam pada itu, beliau berkata organisasi perlu mengimbangi prestasi semasa dengan penerokaan sumber pertumbuhan baharu bagi membina daya tahan.

“Organisasi perlu berkemampuan melaksanakan perkara yang berkesan pada hari ini tanpa terlalu terikat dengannya sehingga kehilangan keupayaan untuk meneroka perkara yang mungkin berkesan pada masa hadapan. Kedua-duanya diperlukan secara serentak untuk membina daya tahan,” katanya.

Datuk Amirul berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan organisasi dapat mengekalkan prestasi sambil menyesuaikan strategi apabila keadaan pasaran berubah.

Katanya lagi, prinsip sama perlu diterapkan dalam keputusan pelaburan, strategi korporat dan perancangan ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.