Dana Impak gerak pelaburan RM2.6 bilion sokong130 syarikat tempatan

Dana Impak Khazanah pacu pertumbuhan syarikat tempatan / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Khazanah Nasional Berhad menerusi Dana Impak telah menggerakkan pelaburan RM2.6 bilion bagi menyokong kira-kira 130 syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia serta lebih 4,200 bakat dengan 64 peratus daripadanya dalam pekerjaan berkemahiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana Impak bertujuan memperkukuh keseluruhan ekosistem perniagaan Malaysia, termasuk syarikat pemula, peringkat pertengahan dan syarikat lebih besar.
  • Sejak 2024 Dana Impak memberi tumpuan kepada modal teroka dan pemula, syarikat peringkat pertengahan, serta semikonduktor dan pembuatan termaju.
  • Pelaburan RM905 juta telah menarik modal luar sebanyak RM433 juta setakat 31 Disember 2025.
  • Jelawang Capital memperkukuh ekosistem modal teroka dengan peruntukan sehingga RM1 bilion dan sokong pengurus dana melalui EMP dan RMI.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Dana Impak bertujuan memperkukuh keseluruhan ekosistem perniagaan Malaysia, termasuk pembangunan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan dan syarikat lebih besar.

“Tiada negara yang harus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata dan sebarang kemajuan memerlukan penglibatan seluruh ekosistem.

“Ini bermakna tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan bakat dan syarikat Malaysia, dengan memangkin pertumbuhan syarikat-syarikat agar dapat berkembang dan berjaya.

“Inilah tujuan Dana Impak, memperkukuh keseluruhan ekosistem, daripada syarikat pemula dan syarikat peringkat pertengahan hinggalah syarikat yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaburan berjumlah RM905 juta yang disalurkan kepada syarikat terlibat berjaya menarik modal luaran sebanyak RM433 juta, setakat 31 Disember 2025.

Sejak 2024, Dana Impak memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu ekosistem modal teroka dan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan serta semikonduktor dan pembuatan termaju.

Khazanah menyokong 48 syarikat peringkat pertengahan menerusi program Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme (MGIP) dan ELEVATE setakat akhir 2025.

Menerusi Jelawang Capital, Dana Impak memperkukuh ekosistem modal teroka dan syarikat pemula Malaysia dengan peruntukan sehingga RM1 bilion.

Pada masa sama, ia memperluas akses kepada pembiayaan peringkat awal, memperkukuh kumpulan pengurus dana tempatan serta pengurus dana serantau yang berpengalaman.

Jelawang Capital menyokong lima pengurus dana Malaysia di bawah Emerging Fund Managers’ Programme (EMP) dan memberikan komitmen pelaburan kepada dua pengurus dana di bawah Regional Fund Managers’ Initiative (RMI).

Secara keseluruhan, inisiatif itu memperluas akses kepada modal, bakat dan peluang antarabangsa, selain menggalakkan aliran urus niaga rentas sempadan, rangkaian global serta pengetahuan dan kepakaran institusi ke pasaran domestik.

Datuk Amirul Feisal berkata, kemajuan Dana Impak mencerminkan usaha bersama kerajaan, pelabur, pengurus dana, rakan industri dan institusi dalam memperkukuh syarikat Malaysia sepanjang kitaran pertumbuhan, meningkatkan pelaburan serta memperluas akses kepada sumber modal yang lebih besar dalam jangka panjang.

“Melangkah ke hadapan, Dana Impak akan terus memperkukuh keupayaan dan membangunkan bakat dalam ekosistem strategik, dan menerusi inisiatif GEAR-uP di bawah Kementerian Kewangan.

“Kami akan terus mengerakkan modal dan menjalin kerjasama bagi menyokong lebih banyak syarikat dan usahawan Malaysia untuk mengembangkan perniagaan, bersaing di peringkat global dan meraih lebih banyak manfaat daripada nilai yang dihasilkan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.