Pembaharuan fiskal perlu adil, telus – DS Amir Hamzah

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sesi panel penutup Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Penerimaan rakyat terhadap pembaharuan fiskal bergantung kepada sejauh mana dasar itu difahami dan dirasakan adil, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar fiskal mesti mempertimbangkan kepentingan awam dan impak terhadap kehidupan rakyat.
  • Terapkan kesaksamaan, pelihara kepercayaan sistem dan laksanakan bantuan secara telus.
  • Susun semula subsidi untuk wujud ruang fiskal dan sasar bantuan kepada yang memerlukan.
  • Kukuhkan disiplin fiskal melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan urus sumber terhad demi generasi akan datang.

Beliau berkata, keputusan dasar fiskal perlu mengambil kira kepentingan awam dan kesannya terhadap kehidupan rakyat.

“Penerimaan itu menjadi lebih baik apabila prinsip kesaksamaan diterapkan, kepercayaan terhadap sistem dipelihara dan bantuan yang disediakan dilaksanakan secara telus,” katanya pada sesi panel penutup Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026 di sini, hari ini.

Datuk Seri Amir berkata, penyusunan semula subsidi perlu dilaksanakan bagi mewujudkan ruang fiskal dan memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan keperluan dan kewajaran setiap perubahan yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau berkata Akta Tanggungjawab Fiskal membantu memperkukuh disiplin fiskal, termasuk mengurangkan defisit dan melindungi kepentingan generasi akan datang.

Sumber negara yang terhad seperti minyak dan gas, katanya, perlu diurus secara berhemat supaya manfaatnya dapat dinikmati generasi seterusnya.

Datuk Seri Amir berkata, kesan jangka panjang terhadap rakyat perlu menjadi pertimbangan dalam setiap dasar.

“Secara realitinya, 10 peratus daripada penduduk Malaysia ialah 8.4 juta orang. Jika kita memberi kesan kepada 3.4 juta orang, kehidupan sebahagian daripada mereka mungkin berubah secara drastik. Jadi, kita perlu benar-benar berusaha ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata, Khazanah dan kerajaan tidak mampu memacu kemajuan negara secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama lebih meluas bagi membina masyarakat yang makmur dan seimbang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.