Kadar pengangguran negara turun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026

Foto fail

PUTRAJAYA, 9 Oktober -Kadar pengangguran negara menurun kepada 2.9 peratus pada Ogos 2026, berbanding 3.0 peratus pada bulan sebelumnya, mencerminkan perkembangan positif pasaran buruh Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah penganggur berkurang 1.7 peratus kepada 511,600 orang berbanding bulan sebelumnya.
  • Bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 16.87 juta dan jumlah tenaga buruh naik kepada 17.39 juta dengan kadar penyertaan 71.0 peratus.
  • Peningkatan produktiviti melalui pembangunan kemahiran dan penggunaan teknologi digalakkan bagi pertumbuhan ekonomi mampan dan kesejahteraan rakyat.

Menerusi kenyataan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, jumlah penganggur berkurang 1.7 peratus kepada 511,600 orang, berbanding 520,300 orang pada Julai.

Dalam masa sama, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.2 peratus kepada 16.87 juta orang, berbanding 16.85 juta orang pada bulan sebelumnya.

Jumlah tenaga buruh turut bertambah kepada 17.39 juta orang, dengan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 71.0 peratus.

Bagi kategori pekerjaan, pekerja bergaji merangkumi 74.9 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja, dengan jumlah 12.63 juta orang.

Sementara itu, bilangan individu bekerja sendiri meningkat kepada 3.17 juta orang.

Dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadar pengangguran turut menurun kepada 10.1 peratus, melibatkan 291,300 orang.

Trend sama dicatatkan bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, apabila kadar pengangguran berkurang kepada 6.3 peratus, bersamaan 394,600 orang.

Sementara itu, jumlah penduduk di luar tenaga buruh menurun kepada 7.11 juta orang, dengan tanggungjawab keluarga dan persekolahan menjadi antara faktor utama.

DOSM memaklumkan, prestasi positif pasaran buruh yang berterusan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, peningkatan produktiviti menerusi pembangunan kemahiran dan penggunaan teknologi dilihat sebagai langkah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.