Kerajaan teliti penambahbaikan insentif EV, eksport jadi syarat prestasi pelabur

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tuan Sim Tze Tzin berkata kerajaan sudah menetapkan syarat penyetempatan (localisation) kepada pelabur yang menerima insentif, termasuk penggunaan sumber tempatan./ RTM

KUALA LUMPUR, 19 November – Kerajaan sedang merangka kajian bagi menambah baik mekanisme pemberian insentif kenderaan elektrik (EV) dengan menjadikan pencapaian eksport sebagai antara kriteria utama dan syarat prestasi kepada pelabur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan merangka insentif EV dengan meletakkan pencapaian eksport sebagai kriteria utama dan syarat prestasi pelabur.
  • Penambahbaikan insentif menekankan penyertaan vendor tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
  • Mekanisme insentif akan diselaraskan dengan sasaran Dasar Automotif Nasional NAP 2020 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu NIMP 2030.
  • Kerjasama BYD dengan rakan tempatan wajibkan standard CKD, membuka ruang penyetempatan komponen dan perkongsian kepakaran serta SOP.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, langkah itu bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pasaran pengguna EV, sebaliknya turut memperoleh manfaat jangka panjang daripada pelaburan dalam industri berkenaan.

Beliau berkata, penambahbaikan mekanisme insentif itu turut memberi penekanan kepada penyertaan vendor tempatan, pemindahan teknologi serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Penambahbaikan ini bukan sahaja memberi penekanan kepada penyertaan vendor tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah meletakkan pencapaian serta penggalakan eksport sebagai salah satu kriteria utama dan syarat prestasi insentif EV,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail di Dewan Rakyat, hari ini.

Sim berkata, kerajaan ketika ini sudah menetapkan syarat penyetempatan (localisation) kepada pelabur yang menerima insentif, termasuk penggunaan sumber tempatan.

Mekanisme insentif berkenaan akan ditambah baik supaya selari dengan sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Mengulas perubahan rancangan pelaburan BYD daripada membina kilang pemasangan sendiri kepada menjalankan aktiviti pemasangan menerusi rakan tempatan, beliau berkata keputusan itu adalah sebahagian daripada strategi perniagaan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, BYD tetap diwajibkan mematuhi ketetapan darjah kecernaan bagi komponen kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang diimport dan dipasang oleh syarikat rakan tempatan.

Menurutnya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada penyetempatan komponen tertentu, pemindahan pengetahuan dan kemahiran teknikal serta perkongsian prosedur operasi standard (SOP).

Pendekatan berkenaan berpotensi memperkukuh keupayaan vendor dan tenaga kerja tempatan secara berterusan, sekali gus memastikan pelaburan dalam industri EV turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.