Kerajaan pantau ketat perlombongan REE di Gua Musang

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh/ RTM

KUALA LUMPUR, 19 November – Kerajaan akan melaksanakan pemantauan ketat terhadap aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Gua Musang, Kelantan bagi memastikan operasi berkenaan tidak menjejaskan kualiti alam sekitar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran peraturan, khususnya pencemaran dan pengurusan sisa.
  • Projek telah mendapat kelulusan EIA dan Skim Pengendalian Melombong; pemprosesan REE dijalankan di fasiliti berasingan.
  • Pemantauan dan kawal selia melibatkan JMG, JAS dan Jabatan Tenaga Atom; kebimbangan masyarakat Orang Asli akan diteliti.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan, khususnya membabitkan pencemaran dan pengurusan sisa perlombongan.

Beliau berkata, pemantauan akan meliputi aspek kualiti air, pengurusan sisa serta pelaksanaan pemulihan kawasan lombong, manakala tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran.

“Jadi ringkasnya, kita tidak ambil mudah, kita tidak pandang ringan sekiranya berlaku pencemaran dan kita akan pantau dari segi kualiti air, pengurusan sisa, pemulihan kawasan lombong yang dilaksanakan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran yang berlaku,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Syed Ibrahim, projek perlombongan berkenaan telah memperoleh kelulusan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Skim Pengendalian Melombong (OMS).

Projek usaha sama itu membabitkan aktiviti perlombongan di Gua Musang, manakala proses pemprosesan REE dilaksanakan di Gopeng, Perak.

Pemantauan dan kawal selia turut melibatkan agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing, termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Tenaga Atom.

Dalam sesi sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut membangkitkan kebimbangan mengenai kesan projek berkenaan terhadap kehidupan, kesihatan dan budaya masyarakat Orang Asli Temiar di kawasan terbabit.

Syed Ibrahim berkata, kerajaan mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan dan akan meneliti perkara berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.