Pembiayaan RM500 Juta MBSB bantu syarikat tingkat kecekapan sumber

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 19 November – MBSB Berhad (MBSB) hari ini melancarkan Program Pembiayaan Kelebihan Kewangan Peralihan bernilai RM500 juta bagi membantu syarikat tempatan mempercepatkan usaha penyahkarbonan dan meningkatkan kecekapan sumber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Modal Masa Depan Kelestarian MBSB 2026.
  • Institusi kewangan digesa menyokong perusahaan yang komited beralih kepada amalan lebih hijau, bukan hanya syarikat yang sudah hijau.
  • MBSB memperkenal platform khidmat nasihat TRACE bersama INCEIF dan Yayasan RFI serta perkongsian penyahkarbonan bersama Wild Asia dan HyveGeo.
  • Inisiatif ini dianggap contoh baik untuk menggalakkan PKS melabur dalam teknologi hijau dan meningkatkan kecekapan tenaga.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Sidang Kemuncak Modal Masa Depan Kelestarian MBSB 2026 di sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Datuk Seri Fadillah menegaskan bahawa institusi kewangan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada syarikat yang sudah mencapai status hijau, sebaliknya perlu menyokong perusahaan yang komited untuk memulakan proses peralihan.

“Peluang terbesar bukan hanya terletak pada syarikat yang sudah hijau, tetapi juga pada syarikat yang bertekad untuk menjadi lebih hijau.

“Peralihan ini perlu digerakkan oleh institusi yang bersedia mengiktiraf potensi yang kredibel, mengurus risiko secara bertanggungjawab dan berdiri teguh bersama perniagaan sepanjang proses transformasi mereka,” katanya.

Selain dana RM500 juta itu, MBSB turut memperkenalkan platform khidmat nasihat ekonomi kitaran Islam, TRACE (Transition Readiness Assessment for Circular Economy) bersama Universiti INCEIF dan Yayasan RFI, serta Perkongsian Penyahkarbonan Berasaskan Alam Semula Jadi bersama Wild Asia dan HyveGeo.

Dalam sesi dialog panel yang berlangsung selepas majlis pelancaran, Datuk Seri Fadillah berkata langkah proaktif MBSB menyediakan dana khusus itu wajar dicontohi institusi kewangan lain.

“Pelaburan sentiasa mengikut keyakinan. Inisiatif pembiayaan RM500 juta oleh MBSB ini adalah contoh baik untuk membantu membina keyakinan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mereka mula melabur dalam teknologi hijau dan kecekapan tenaga,” katanya.

Sesi dialog itu turut disertai Pengarah Kumpulan MBSB, Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan RFI, Blake Goud,

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef dalam kenyataannya berkata gabungan inisiatif tersebut membentuk ekosistem lengkap bagi menyokong syarikat korporat dan PKS pada setiap peringkat perjalanan kelestarian mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.