2027, hasil kerajaan diunjur meningkat RM380.8 bilion

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Hasil Kerajaan Persekutuan diunjur meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM380.8 bilion, menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hasil cukai diunjur berkembang 5.8% kepada RM297.1 bilion, menyumbang 78% daripada jumlah hasil dan 12.8% daripada KDNK.
  • Hasil bukan cukai dijangka meningkat 1.1% kepada RM83.7 bilion atau 3.6% daripada KDNK.
  • Cukai langsung diunjur meningkat; CITA dan cukai pendapatan individu meningkat, disokong pendaftaran e-Invois serta penguatkuasaan dan audit.
  • Cukai tidak langsung diunjur naik 8.3% kepada RM97.2 bilion; SST utama, didorong penggunaan dan acara besar seperti Visit Malaysia, Sukan SEA.

Anggaran yang lebih tinggi disumbangkan oleh hasil cukai yang diunjur berkembang 5.8 peratus kepada RM297.1 bilion, merangkumi 78 peratus daripada jumlah hasil atau 12.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, hasil bukan cukai pula dijangka meningkat 1.1 peratus kepada RM83.7 bilion atau 3.6 peratus daripada KDNK.

“Cukai langsung diunjur meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM199.9 bilion atau 67.3 peratus daripada jumlah hasil cukai, disokong oleh peningkatan kutipan cukai pendapatan.

“Peningkatan tersebut didorong oleh pendaftaran pembayar cukai yang menggalakkan hasil daripada pelaksanaan e-Invois secara berfasa,” jelas laporan itu.

Komponen terbesar dalam cukai langsung iaitu cukai pendapatan syarikat (CITA) dijangka meningkat 4.8 peratus kepada RM106.6 bilion.

Selain itu, cukai pendapatan individu dianggar meningkat 6.2 peratus kepada RM51.8 bilion dengan jangkaan pertumbuhan gaji berterusan dan kadar pengangguran yang rendah.

Di samping itu, penguatkuasaan dan audit yang lebih tegas ke atas pembayar cukai sebelum pelaksanaan e-Invois turut menyumbang kepada peningkatan kutipan.

Komponen cukai langsung yang lain iaitu duti setem dijangka meningkat 5.6 peratus kepada RM12.4 bilion selaras dengan peralihan secara berperingkat kepada Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) khususnya bagi surat cara pindah milik harta tanah berkuat kuasa 1 Januari 2027.

Sementara itu, kutipan cukai tidak langsung diunjur meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM97.2 bilion didorong oleh aktiviti perniagaan dan penggunaan yang kukuh.

“Penyumbang utama cukai tidak langsung ialah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak RM73.3 bilion atau 3.2 peratus daripada KDNK.

“Daripada jumlah tersebut, cukai jualan dan cukai perkhidmatan diunjur meningkat masing-masing kepada RM30.9 bilion dan RM42.4 bilion,” menurut laporan itu.

Unjuran SST yang lebih tinggi sebanyak 9.5 peratus selaras dengan prestasi penggunaan swasta yang mampan, mengambil kira acara utama yang akan diadakan pada 2027 termasuk Visit Malaysia 2026-2027 serta penganjuran Sukan SEA ke-34 di Malaysia.

Selain itu, kutipan duti eksais dianggar kekal stabil pada RM11.8 bilion didorong lanjutan pengecualian duti ke atas kenderaan elektrik pemasangan tempatan sehingga akhir 2027.

Dengan andaian purata harga minyak mentah dunia kekal stabil pada 2027, hasil berkaitan petroleum dijangka mencecah RM61.2 bilion, mengambil kira dividen PETRONAS yang lebih tinggi.

“Hasil bukan petroleum juga dianggar berkembang sebanyak 3.5 peratus kepada RM319.6 bilion, menunjukkan pembaharuan utama sejak beberapa tahun kebelakangan terus meluaskan asas cukai, di samping penambahbaikan secara berperingkat terhadap keupayaan penjanaan hasil dalam jangka masa sederhana,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.