Belanjawan 2027: Kerajaan imbangi pembangunan dan kemampanan fiskal

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2027 akan terus berpandukan keperluan untuk mengimbangi antara pembangunan dan operasi perkhidmatan awam dengan kemampanan fiskal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbelanjaan mengurus kekal dominan, berdepan tekanan subsidi, bantuan sosial dan perkhidmatan, menuntut kawalan kos serta kecekapan perbelanjaan.
  • Peruntukan fokus kepada sektor sosial serta Kementerian Pendidikan, Kesihatan dan Pertahanan bagi pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
  • Kerajaan meneruskan konsolidasi fiskal, mengurangkan defisit melalui peningkatan hasil mampan dan pelarasan perbelanjaan berasaskan nilai untuk wang.

Menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bagi Belanjawan 2027 dianggarkan sebanyak RM459.8 bilion atau 19.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jumlah itu meningkat 3.6 peratus berbanding peruntukan Belanjawan 2026 yang disemak semula.

Daripada jumlah tersebut, RM376.8 bilion atau 81.9 peratus diperuntukkan kepada Perbelanjaan Mengurus (OE), manakala baki RM83 bilion diperuntukkan kepada Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Perbelanjaan akan terus tertumpu kepada projek dan program yang berpaksikan rakyat dengan 30.2 peratus daripada jumlah peruntukan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

Berdasarkan peruntukan mengikut sektor, penerima bahagian terbesar adalah sektor sosial sebanyak RM161.6 bilion atau 35.1 peratus daripada jumlah peruntukan, menggambarkan keutamaan berterusan Kerajaan terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Agihan ini diikuti oleh sektor ekonomi (RM59.4 bilion; 12.9%), keselamatan (RM46 bilion; 10%) dan pentadbiran am berjumlah RM23.4 bilion.

Baki sebanyak RM169.4 bilion terduiri daripada perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Komitmen OE dijangka terus berdepan tekanan daripada keperluan perbelanjaan yang tinggi khususnya subsidi dan bantuan sosial, perkhidmatan dan bekalan serta pemberian dan serahan.

Sementara itu, DE akan terus menyokong pelaburan keutamaan di bawah RMK13 dengan penekanan terhadap program dan projek dengan kesan limpahan ekonomi yang ketara, dilaksanakan dengan pantas serta memberikan nilai untuk wang.

Kerajaan akan terus memastikan sumber awam disalurkan bagi menjana impak yang optimum kepada rakyat dan ekonomi di samping meneruskan langkah konsolidasi fiskal.

Sementara itu, selaras dengan konsolidasi fiskal jangka sederhana di bawah Akta 850, defisit fiskal diunjur berkurang kepada 3.3% daripada KDNK pada 2027.

Pelaksanaan konsolidasi akan terus disesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa dengan pelarasan fiskal berlandaskan peningkatan hasil yang mampan dan kecekapan perbelanjaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.