
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, disokong pengurusan ekonomi yang kukuh, permintaan domestik yang teguh serta pembaharuan struktur berterusan menerusi Belanjawan 2027.
- Belanjawan 2027 menekankan pengalihan kepada aktiviti bernilai tinggi dan pelaburan berkualiti untuk meningkatkan produktiviti serta keterangkuman.
- Memperkukuh sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, perkhidmatan digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa.
- Melindungi isi rumah melalui bantuan bersasar, subsidi, dan peningkatan akses pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur serta perlindungan sosial.
- Memperkukuh tadbir urus fiskal, rasionalisasi subsidi dan memastikan perbelanjaan memberi pulangan ekonomi dan sosial yang tinggi.
Kementerian Kewangan berkata, pertumbuhan itu perlu diterjemahkan kepada ekonomi bernilai lebih tinggi dengan produktiviti dan keterangkuman yang lebih baik, selain memastikan pelaburan membina keupayaan domestik, memperkukuh hubungan antara syarikat tempatan dan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.
“Ekonomi Malaysia yang kini berdaya tahan akan memasuki fasa selanjutnya dalam pembaharuan ekonomi dan dijangka mencatat pertumbuhan antara 4.2 peratus dan 5.2 peratus pada 2027,” katanya dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2027.
Dalam laporan itu juga, kementerian itu berkata, Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada usaha menaikkan siling ekonomi menerusi aktiviti bernilai lebih tinggi dan pelaburan berkualiti.
Ia termasuk memperkukuh sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa.
Pada masa sama, usaha menaikkan lantai akan memberi tumpuan kepada perlindungan isi rumah menerusi bantuan dan subsidi bersasar.
Usaha itu juga merangkumi peningkatan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur serta perlindungan sosial bagi memastikan manfaat pertumbuhan dapat dirasai secara lebih meluas.
Reformasi pasaran buruh juga akan menjadi keutamaan dengan penambahbaikan gaji minimum, gaji kehidupan wajar dan mekanisme gaji berasaskan prestasi bagi meningkatkan kuasa beli pekerja serta memperkukuh permintaan domestik.
“Belanjawan 2027 akan memastikan isi rumah terus dilindungi melalui bantuan bersasar disokong akses lebih baik kepada infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan, mobiliti dan perlindungan sosial,” katanya.
Dalam memastikan pertumbuhan lebih mampan, kerajaan juga akan memperkukuh tatakelola, pengurusan fiskal dan keberkesanan perbelanjaan, termasuk rasionalisasi subsidi serta memastikan setiap ringgit disalurkan kepada program dan projek yang memberikan pulangan ekonomi dan sosial yang tinggi.
Kementerian berkata, komitmen itu perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan mengikut tempoh yang ditetapkan, akauntabiliti yang jelas dan hasil yang boleh diukur bagi memastikan Kerangka Ekonomi MADANI terus menjadi agenda penyampaian bersepadu untuk meningkatkan potensi negara serta taraf hidup rakyat.