Pelaburan US$300 bilion berpotensi buka laluan Malaysia jadi tenaga ASEAN

Foto fail

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Keperluan pelaburan lebih US$300 bilion (RM1.2 trilion) bagi pembangunan dan usaha pemodenan grid elektrik ASEAN antara 2025 hingga 2040 membuka peluang besar kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab perdagangan tenaga elektrik serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedudukan strategik dan hubungan tenaga sedia ada dengan Singapura, Thailand dan Indonesia menjadikan Malaysia calon hab perdagangan elektrik serantau.
  • Keupayaan mengeksport semasa lebihan dan mengimport ketika kekurangan membuka peluang kepada syarikat utiliti, tenaga dan institusi kewangan.
  • Sumber boleh diperbaharui khususnya solar dan hidro mengukuhkan potensi bekalan serta menyokong sasaran tenaga bersih negara.
  • Perlu peluasan grid domestik selari dengan integrasi APG untuk bekalan boleh harap, menarik pelaburan bernilai tinggi dan meningkatkan penggunaan RE.

Kementerian Kewangan berkata, pelaburan besar itu diperlukan bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik ASEAN yang didorong perkembangan kecerdasan buatan (AI), pusat data, kenderaan elektrik (EV), elektrifikasi industri serta pertumbuhan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, jumlah pelaburan tersebut mewakili peningkatan 72 peratus berbanding US$174 bilion yang dilaburkan dalam grid elektrik ASEAN bagi tempoh 2009 hingga 2024, menurut laporan International Energy Agency (IEA).

“Malaysia mempunyai kedudukan strategik untuk merebut peluang berkenaan menerusi hubungan tenaga sedia ada dengan Singapura, Thailand dan Indonesia, selain pengalaman dalam perdagangan elektrik rentas sempadan melalui Projek Integrasi Kuasa Lao-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP),” katanya dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2027.

Tinjauan itu juga menyatakan, Malaysia berpotensi mengeksport tenaga elektrik ketika berlaku lebihan penjanaan dan mengimport apabila bekalan domestik menghadapi kekangan, sekali gus mewujudkan peluang baharu kepada syarikat utiliti, tenaga, institusi kewangan dan sektor perniagaan berkaitan.

Potensi itu katanya, turut diperkukuh oleh sumber RE Malaysia, khususnya solar dan hidro, dengan ia menyumbang 31 peratus daripada kapasiti penjanaan sehingga Oktober 2025 dan sasaran meningkat kepada 40 peratus menjelang 2035 serta 70 peratus menjelang 2050.

Pada masa sama, peningkatan permintaan daripada pusat data dan industri berpaksikan tenaga menjadikan pengukuhan grid domestik semakin penting, dengan penggunaan elektrik sebenar pusat data mencecah sekitar 710 megawatt (MW) pada 2025 dan berpotensi meningkat sehingga 20.9 GW menjelang 2040.

Malaysia bagaimanapun perlu memastikan peluasan grid domestik bergerak seiring dengan integrasi serantau bagi menjamin bekalan yang berdaya harap, terutama ketika negara berusaha menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi yang memerlukan bekalan elektrik berskala besar dan konsisten.

Tinjauan Ekonomi 2027 itu juga menyatakan, Grid Kuasa ASEAN (APG) dijangka menjadi rangkaian tenaga elektrik serantau sepenuhnya menjelang 2045, membolehkan negara anggota yang mempunyai lebihan elektrik membekalkannya kepada negara yang memerlukan serta meningkatkan penggunaan RE.

Perkembangan itu bukan sekadar peluang perdagangan elektrik, malah Malaysia berpotensi mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian ekonomi tenaga serantau, menarik pelaburan baharu dan menyokong peralihan kepada ekonomi berasaskan tenaga lebih bersih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.