
LONDON, 6 November – Pelawak dan pelakon British, Russell Brand didapati bersalah oleh juri di London pada Khamis atas satu pertuduhan merogol dan tiga pertuduhan serangan seksual membabitkan empat wanita.
- Brand direman dan akan dijatuhi hukuman Isnin ini, dengan hukuman maksimum rogol di UK ialah penjara seumur hidup.
- Polis siasat dakwaan berasingan termasuk kemungkinan melibatkan pelajar bawah umur, dan memuji keberanian wanita yang tampil membuat laporan.
- Pembelaan menegaskan hubungan bersetuju dan cuba batal kes atas alasan liputan media, namun permohonan dan jaminan ditolak hakim.
Brand, 51, bagaimanapun dilepaskan daripada dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan cubaan serangan tidak senonoh membabitkan dua wanita lain.
Hakim Joel Bennathan memberi amaran bahawa Brand berdepan hukuman penjara yang berat.
Isterinya, Laura, yang hadir hampir setiap hari sepanjang perbicaraan bermula 12 Okt lepas, turut berada di galeri awam Mahkamah Southwark Crown ketika keputusan empat pertuduhan bersalah itu dibacakan.
Brand direman dalam tahanan dan akan dijatuhi hukuman pada Isnin ini. Hukuman maksimum bagi kesalahan rogol di United Kingdom ialah penjara seumur hidup.
Sementara itu, Brand turut berdepan dakwaan berasingan merogol dua lagi wanita, termasuk seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, yang berpotensi membawa kepada pertuduhan jenayah tambahan.
Dakwaan berkenaan, yang sedang disiasat Polis Metropolitan, sebelum ini tidak boleh dilaporkan sehingga didedahkan dalam prosiding mahkamah sepanjang perbicaraan selama empat minggu itu.
Jurucakap Polis Metropolitan dalam kenyataan kepada AFP mengesahkan Brand telah disoal siasat berhubung dakwaan berkenaan.
Selepas keputusan mahkamah diumumkan, polis memuji keberanian dan ketabahan wanita yang tampil membuat laporan.
Superintenden Detektif Andy Furphy berkata Brand menggunakan pengaruh, kedudukan dan popularitinya untuk mengeksploitasi wanita serta melakukan kesalahan seksual.
Beliau berharap keputusan itu menjadi peringatan bahawa tiada individu yang terkecuali daripada undang-undang, tanpa mengira tahap populariti atau pengaruh.
Pendakwa raya kanan, David Roberts pula menyifatkan Brand sebagai individu yang manipulatif dan menggunakan status selebritinya untuk melakukan jenayah seksual.
Brand didapati bersalah atas empat kesalahan seksual yang berlaku antara 2005 hingga 2009 di beberapa lokasi, termasuk sebuah stesen radio, studio rakaman dan kediamannya.
Bagaimanapun, Brand sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dengan menegaskan bahawa meskipun pernah mengamalkan gaya hidup bebas, semua hubungan seksualnya adalah atas dasar persetujuan.
Selepas keputusan bersalah diumumkan, peguamnya, Ian Winter memohon supaya jaminan diberikan sepanjang hujung minggu bagi membolehkan anak guamnya menguruskan hal peribadi dan mengucapkan selamat tinggal kepada tiga anaknya yang masih kecil.
Namun, hakim menolak permohonan itu atas alasan terdapat risiko Brand mungkin tidak hadir untuk menjalani hukuman.
Brand sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh sempat memberi isyarat kepada pasukan pembelaannya bahawa dia berada dalam keadaan baik.
Keputusan itu menyusul selepas Brand sebelum ini menafikan dakwaan terhadapnya susulan pendedahan sebuah dokumentari dan laporan akhbar pada 2023 yang mencetuskan siasatan polis.
Pihak pembelaan turut cuba membatalkan kes atas alasan liputan media berkenaan telah menjejaskan peluang Brand mendapat perbicaraan yang adil, namun permohonan itu ditolak hakim.-AFP