
KUALA LUMPUR, 5 November – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat terakhir MPC bagi tahun 2026, yang berlangsung hari ini.
- Pendirian dasar monetari disifatkan selaras dengan kestabilan harga dan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
- Pertumbuhan kukuh suku ketiga disokong eksport menggalakkan dan permintaan domestik; ekonomi dijangka berkembang melebihi 5 peratus tahun ini.
- Risiko geopolitik dan pengeluaran komoditi rendah boleh menjejaskan pertumbuhan, manakala Belanjawan 2027 dan pelancongan menyokong penggunaan swasta.
Pengekalan itu bermakna OPR kekal pada kadar sama sejak Julai 2025, selepas bank pusat menurunkannya sebanyak 25 mata asas daripada 3.00 peratus.
”Pendirian dasar monetari pada paras OPR semasa adalah selaras dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
”MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai implikasinya terhadap imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan domestik,” jelas BNM dalam satu kenyataan, hari ini.
Indikator terkini menunjukkan pertumbuhan negara terus kukuh pada suku ketiga tahun 2026 disokong oleh prestasi eksport menggalakkan, di samping permintaan domestik yang mampan.
Momentum pertumbuhan yang positif dijangka menyumbang kepada pengembangan ekonomi negara melebihi 5 peratus, tahun ini.
Pada masa hadapan, asas-asas ekonomi yang kukuh dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada tahun 2027.
”Sektor luaran dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan serta perbelanjaan pelancong yang teguh.
”Keadaan pasaran pekerja yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan terus menyokong permintaan dalam negeri, manakala langkah-langkah dalam Belanjawan 2027 akan memberikan sokongan tambahan kepada penggunaan swasta,” katanya.
Bagaimanapun, prospek pertumbuhan masih terdedah kepada risiko penurunan susulan konflik berlarutan di Asia Barat dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
Sebaliknya, pertumbuhan global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan terhadap eksport berkaitan teknologi yang lebih kukuh serta aktiviti pelancongan yang rancak, berpotensi melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi.
BNM turut menjelaskan, untuk tempoh Januari hingga September inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata antara 1.8 peratus dan 1.9 peratus.
”Menjelang 2027, perkembangan geopolitik, harga komoditi global yang tinggi dan keadaan cuaca buruk dijangka terus memberikan tekanan menaik terhadap inflasi.
”Kesannya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka meningkat sedikit meskipun kekal terkawal berikutan langkah-langkah dasar dalam negeri yang berterusan dan
keadaan permintaan yang stabil,” katanya.
Sementara itu, indikator terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi global kekal berdaya tahan, disokong pelaburan teknologi dan pasaran pekerja yang stabil, meskipun inflasi meningkat susulan kenaikan kos tenaga.
Prospek pertumbuhan bagaimanapun terus berdepan risiko ketegangan geopolitik dan keadaan kewangan global yang lebih ketat.
Namun, kesannya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan teknologi yang mampan serta pemulihan rantaian bekalan.