
PELABUHAN KLANG, 8 November – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita 27,984 kilogram daging kerbau import dari India bernilai RM413,728.89 selepas mengesan ketidakpadanan dokumen sijil halal dengan maklumat pada permit import.
- Ketidakpadanan maklumat pada sijil halal dan permit import dikesan semasa pemeriksaan pegawai penguat kuasa pada 6 November kira-kira 10.40 pagi.
- Keseluruhan konsainan ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kemungkinan manipulasi dokumen dan penyalahgunaan prosedur pengimportan.
- AKPS akan menyerahkan barangan kepada MAQIS untuk tindakan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, konsainan berkenaan dikesan dalam pemeriksaan yang dijalankan pegawai penguat kuasa pada 6 November lalu, kira-kira pukul 10.40 pagi.
Hasil pemeriksaan mendapati dokumen sijil halal yang dikemukakan mengandungi maklumat tidak selaras dengan butiran yang diisytiharkan pada permit import.
Susulan itu, keseluruhan konsainan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
“AKPS menegaskan komitmen berterusan dalam mempergiat usaha penguatkuasaan dan memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi membanteras sebarang bentuk ketidakpatuhan, manipulasi dokumen serta penyalahgunaan prosedur pengimportan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Datuk Nik Ezanee, barangan dagangan terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan serta siasatan lanjut berhubung kesalahan yang disyaki di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].