
BANDA HILIR, 8 November – Pelaksanaan zon bebas kenderaan (CFZ) di Banda Hilir, Melaka, yang bertujuan menghidupkan kawasan tumpuan pelancong, berdepan cabaran dari segi akses pelanggan ke premis perniagaan apabila penutupan jalan berpanjangan didakwa menjejaskan kehadiran pengunjung.
- Peniaga mahu tempoh pelaksanaan inisiatif disesuaikan dengan waktu operasi perniagaan supaya aktiviti ekonomi setempat tidak terjejas.
- Cadangan buka jalan pada waktu siang dan tutup sekitar pukul 6 petang hingga awal pagi bagi tidak mengganggu urusan jual beli.
- Peniaga harap kerajaan memberi perhatian, memperkukuh pelancongan dan membantu merancakkan perniagaan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Sehubungan itu, peniaga di Medan Samudera berharap tempoh pelaksanaan inisiatif berkenaan disesuaikan dengan waktu operasi perniagaan bagi memastikan aktiviti ekonomi setempat tidak terjejas.
Mereka tidak menolak usaha menjadikan kawasan itu lebih mesra kepada pejalan kaki, namun berpendapat akses ke premis perniagaan perlu diberi perhatian, terutama ketika urusan jual beli berlangsung.
Mereka menyokong usaha menghidupkan kawasan tumpuan pelancong itu, namun berharap pelaksanaan inisiatif berkenaan tidak menjejaskan akses pengunjung ke premis perniagaan.
Salah seorang peniaga, Rohana Yaakob berkata pihaknya tidak mempunyai masalah dengan pelaksanaan CFZ, sebaliknya mencadangkan jalan dibuka semula pada waktu siang dan ditutup bermula kira-kira 6 petang hingga awal pagi.
“Kita tidak ada apa-apa masalah. Cuma kita minta buka waktu siang seperti awal dahulu, kemudian pukul 6 petang tutup. Esoknya buka macam biasa, pukul 3 hingga 4 pagi,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi peniaga, Zulerni Selamat yang mencadangkan penutupan jalan bermula 6.00 petang hingga pagi, sebelum dibuka semula bagi memberi laluan kepada aktiviti perniagaan.
“Saya cadangkan kalau hendak tutup jalan pun, mulakan pukul 6.00 petang dan tutup sampai pagi. Selepas itu, pagi buka balik. Jangan terus tiga hari kerana memang orang kurang sangat,” katanya.
Sementara itu, Patrick Teoh berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada nasib peniaga di kawasan tersebut khususnya menerusi usaha memperkukuh sektor pelancongan dan membantu merancakkan perniagaan setempat.
“Kita harap kerajaan dapat usaha membantu para peniaga di kawasan bandar . terutama dari segi pelancongan.Dan meningkatkan usaha untuk..melebihkan perniagaan disini”, ujarnya.
Para peniaga berkenaan turut berharap cadangan mereka dapat diberi perhatian, selain mengharapkan lebih ramai pengunjung terus berkunjung ke kawasan Bandar Hilir bagi membantu merancakkan aktiviti perniagaan dan pelancongan setempat.