Belanjawan 2027: Belia pemacu ekonomi negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Belanjawan 2027 perlu mengutamakan pelaburan dalam pembangunan belia bagi melahirkan generasi muda yang berdikari, berdaya saing dan mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan kepada sektor bernilai tinggi (AI, teknologi digital, ekonomi hijau) dengan latihan kemahiran berhubung terus dengan keperluan industri, pensijilan dan jaminan pendapatan.
  • Sokongan keusahawanan melebihi modal termasuk akses pasaran, bimbingan, pendigitalan dan jaringan industri untuk memastikan perniagaan belia tahan dan berkembang.
  • Tingkatkan literasi kewangan, penilaian keberkesanan berdasarkan hasil sebenar serta akses saksama untuk belia luar bandar, Sabah, Sarawak, Orang Asli dan OKU.

Naib Presiden Program dan Pembangunan Impact, agensi di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Zul Imran Ishak berkata, belanjawan itu perlu melangkaui pemberian bantuan kewangan dengan memperkukuh keupayaan belia untuk membina kerjaya dan meningkatkan taraf hidup.

Menurut beliau, terdapat lima keutamaan yang perlu diberikan perhatian, iaitu peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji setimpal, pendidikan berorientasikan industri, akses pendidikan berkualiti dan inklusif, pemilikan rumah serta kestabilan kewangan, selain keusahawanan dan akses kepada peluang ekonomi.

Beliau berkata, pelaburan berimpak tinggi perlu disalurkan kepada sektor bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan ekonomi hijau, dengan latihan kemahiran yang mempunyai hubungan langsung dengan keperluan industri.

“Paling penting, latihan yang disediakan perlu mempunyai jalinan terus dengan industri, merangkumi latihan praktikal, pensijilan yang diiktiraf serta jaminan pendapatan selepas tamat latihan,” katanya ketika ditemu bual selepas menjadi tetamu porgram Selamat Pagi Malaysia hari ini, di sini.

Mengulas mengenai keusahawanan belia, Zul Imran berkata, bantuan modal sahaja tidak memadai tanpa sokongan berterusan, termasuk akses pasaran, bimbingan, pendigitalan dan jaringan industri bagi memastikan perniagaan yang dibangunkan mampu bertahan serta berkembang.

Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan peruntukan belanjawan perlu dinilai berdasarkan hasil sebenar, termasuk peluang pekerjaan yang diperoleh selepas latihan, peningkatan taraf hidup dan perkembangan kerjaya peserta.

“Kita perlu melihat sama ada selepas menghadiri latihan, mereka mendapat pekerjaan, kehidupan mereka menjadi lebih baik dan wujud perkembangan dalam kerjaya.

“Pendekatan menyeluruh yang menghubungkan pendidikan terus dengan industri, latihan dan peningkatan pendapatan amat diperlukan bagi mengatasi halangan yang dihadapi belia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan belia bagi mengelakkan beban hutang tidak terkawal, membina simpanan dan membantu mereka merancang pemilikan rumah pertama.

Beliau turut berharap supaya manfaat belanjawan dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan belia, termasuk di luar bandar, Sabah dan Sarawak, komuniti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) serta golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, tema Belanjawan 2027, “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, selari dengan keperluan mengimbangi aspirasi pertumbuhan ekonomi negara dengan realiti kehidupan rakyat, khususnya cabaran yang dihadapi golongan muda.

Beliau berkata, penglibatan belia dalam proses pembangunan dan penilaian dasar juga perlu diperkukuh bagi memastikan pandangan serta keperluan mereka diambil kira dalam merangka dan melaksanakan inisiatif kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.