Sindiket dadah: Jet persendirian jadi taktik baharu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober –Taktik penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan perkhidmatan jet persendirian dipercayai didalangi warga Filipina, susulan kawalan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 521 kilogram methamphetamine di Laos pada 23 September disyaki berkaitan sindiket antarabangsa.
  • Empat individu ditahan di Subang pada 7 Oktober termasuk pemilik syarikat, kemudian dibebaskan selepas polis berpuas hati.
  • Pihak berkuasa Laos merampas 23 beg dadah dan menahan 13 orang, JSJN akan ke Laos membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata perkara itu dikesan ekoran rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di Laos pada 23 September lepas, kira-kira seminggu sebelum kejadian itu.

Individu berkenaan menempah perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan persendirian yang dikenal pasti dimiliki empat individu, iaitu dua juruterbang warga Malaysia dan dua warga Singapura, dengan bayaran USD49,500.

“Sekarang kita telah mengesan satu lagi kaedah. Bila kita buat kawalan ketat di KLIA, KLIA2, mereka mula ubah taktik. Terbaharu kita dapati mereka menggunakan jet perbadi. Perkhidmatan mereka telah ditempah ataupun disewa seminggu sebelum kejadian pada 23 September oleh seorang individu daripada Filipina” katanya dalam sidang media JSJN di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau berkata empat individu yang ditahan di Subang pada 7 Oktober lalu, termasuk pemilik syarikat, telah dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan maklumat yang diberikan serta mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi menentukan sama ada pemilik syarikat terbabit mempunyai kaitan dengan kegiatan itu atau turut diperalatkan sindiket.

Pesawat berkenaan dikendalikan seorang juruterbang warga Singapura dan pembantu juruterbang warga Malaysia, selain membawa seorang penumpang warga Filipina.

Pihak berkuasa Laos kemudian merampas 23 beg berisi dadah dan menahan 13 individu bagi membantu siasatan.

Pihak JSJN akan ke Laos selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa negara itu bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membantu siasatan terhadap rangkaian sindiket berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.