Lelaki cedera ditembak polis di Johor Bahru

Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU, 9 Oktober -Seorang lelaki cedera selepas terkena tembakan polis ketika cuba melarikan diri di Jalan Gertak Merah, di sini, kira- kira 2.00 petang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek 28 tahun dipercayai memandu secara melulu dan enggan berhenti ketika diarahkan polis.
  • Polis melepaskan dua das tembakan, dengan satu daripadanya mengenai suspek.
  • Pemeriksaan menemui dadah: 373.8 gram ekstasi dan 17 kartrij vape disyaki ketamin; kedua suspek positif methamphetamine.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek, 28 tahun dipercayai memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya selain enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis.

Menurutnya, polis melepaskan dua das tembakan, dengan satu daripadanya mengenai suspek.

Polis turut menemukan beberapa paket plastik disyaki dadah selain menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang merupakan penumpang kereta itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kereta berkenaan, polis menemukan sejumlah dadah, termasuk tujuh paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi seberat 373.8 gram serta 17 kartrij vape yang mengandungi cecair disyaki ketamin, dengan anggaran isipadu 6.8 mililiter,” katanya dalam satu kenyataan.

Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis berhubung satu kes dadah di Seri Alam.

Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek lelaki yang cedera di bahagian kepala kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah(HSAJB) dan dilaporkan stabil.

Permohonan reman terhadap suspek wanita akan dilakuan pada hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.