Inflasi kesihatan 3%, Belanjawan 2027 dijangka perkasa hospital awam

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka terus meningkat dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi kesihatan naik kepada 3.0 peratus pada 2025 dari 1.4 peratus pada 2024.
  • Kos insurans melonjak hampir 9.0 peratus, meningkatkan tekanan kepada perbelanjaan kesihatan.
  • Kekangan kapasiti hospital awam menyebabkan permintaan beralih ke swasta; katil awam berkembang hanya 1% antara 2019 hingga 2024.
  • Belanjawan 2027 dijangka tumpu lima bidang: akses berpatutan, kurang kesesakan, kukuh tenaga kerja, pencegahan, naik taraf klinik dan hospital.

Phillip Capital Research berkata, jangkaan pertambahan peruntukan itu adalah berdasarkan peningkatan kos penjagaan kesihatan yang mencecah tiga peratus tahun lalu dan ia akan menjadi antara cabaran yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.

Katanya, peningkatan peruntukan KKM penting ketika inflasi kesihatan negara meningkat daripada 1.4peratus pada 2024 kepada 3.0 peratus pada 2025, terutama selepas kos insurans melonjak hampir 9.0 peratus.

“Sebahagian besar peruntukan dijangka terus disalurkan kepada hospital dan kemudahan kesihatan awam bagi meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti pada kos berpatutan, mengurangkan kesesakan serta memperkukuh kapasiti sistem kesihatan negara.

“Tekanan kos kesihatan turut berpunca daripada peningkatan penyakit tidak berjangkit, kos rawatan perubatan serta keperluan pelaburan dalam teknologi perubatan yang semakin canggih,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, kekangan kapasiti hospital awam juga dijangka terus menyebabkan sebahagian permintaan rawatan beralih kepada hospital swasta, dengan jumlah katil hospital awam berkembang hanya satu peratus bagi tempoh 2019 hingga 2024, berbanding tiga peratus bagi hospital swasta.

Katanya, Belanjawan 2027 dijangka memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu memperluas akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti pada kos berpatutan, mengurangkan kesesakan fasiliti awam, memperkukuh tenaga kerja kesihatan, meningkatkan pencegahan penyakit serta menyelenggara dan menaik taraf klinik dan hospital kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.