Hubungan Malaysia-Jordan akan terus diperkukuh – Sultan Ibrahim

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yakin hubungan Malaysia dan Jordan akan terus diperkukuh dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pendidikan demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan diraja kukuh berasaskan nilai bersama, saling menghormati serta komitmen memelihara institusi dan warisan masing-masing.
  • Hubungan peribadi antara kedua raja diperkukuh melalui pengalaman latihan ketenteraan yang mempereratkan hubungan diplomatik dan peribadi.
  • Seri Paduka menyuarakan kebimbangan terhadap konflik Asia Barat, menggesa penamatan pertempuran serta menghargai peranan Jordan menjaga tempat suci Baitulmaqdis.

Seri Paduka Baginda bertitah, hubungan erat yang terjalin sekian lama berasaskan nilai bersama, sikap saling menghormati serta komitmen memelihara institusi diraja dan warisan masing-masing.

“Walaupun berakar daripada latar belakang sejarah dan budaya yang berbeza, kedua-dua institusi diraja kita berkongsi warisan yang sama dalam memelihara warisan, menjunjung institusi masing-masing serta berkhidmat kepada rakyat merentas generasi,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda bertitah demikian selepas istiadat mewasalkan darjah kebesaran negara kepada Raja Jordan, Raja Abdullah II, di Istana Negara hari ini.

Sultan Ibrahim turut menyentuh hubungan peribadi antara kedua-dua raja yang terjalin menerusi pengalaman latihan ketenteraan masing-masing.

Dalam bidang ekonomi, Baginda mengalu-alukan pertumbuhan perdagangan dua hala, khususnya menerusi produk minyak sawit dan halal.

Baginda bertitah, ekosistem halal Malaysia berpotensi melengkapi kedudukan strategik Jordan, manakala perkembangan sektor perindustrian Malaysia turut membuka peluang pelaburan dari negara itu.

Seri Paduka Baginda berharap hubungan lebih erat antara komuniti perniagaan kedua-dua negara dapat memperluas kerjasama ekonomi dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Dalam bidang pendidikan, Baginda mengalu-alukan peluang kepada pelajar Malaysia dan Jordan untuk melanjutkan pengajian di negara masing-masing.

Baginda turut menyokong penyertaan pegawai Jordan dalam latihan dan perkongsian ilmu menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) bagi meningkatkan kemahiran serta kepakaran generasi muda dan pegawai awam.

Menyentuh perkembangan Asia Barat, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap konflik berterusan di rantau itu yang turut mengancam keselamatan Jordan.

Baginda bertitah, Malaysia terus menggesa semua pihak mengelakkan ketegangan daripada meningkat dan menamatkan pertempuran dengan segera.

Mengenai Palestin, Baginda menghargai peranan Jordan dalam menjaga tempat suci di Baitulmaqdis serta sokongan berterusan negara itu kepada rakyat Palestin.

Sultan Ibrahim yakin lawatan Raja Abdullah II akan menjadi satu lagi langkah penting dalam membina kerjasama lebih kukuh dan berpandangan jauh demi generasi akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.