Agong, Raja Abdullah II saling kurnia Darjah Kebesaran

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali, iaitu darjah kebesaran awam tertinggi Kerajaan Jordan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Jordan, Raja Abdullah II saling mengurniakan darjah kebesaran sempena lawatan negara dua hari baginda ke Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) kepada Raja Abdullah II dalam istiadat khas di Istana Negara.
  • Istiadat itu berlangsung selepas pertemuan empat mata dan dihadiri Perdana Menteri serta beberapa menteri kanan.
  • Malaysia dan Jordan memperkukuh hubungan sejak 1965 dalam pendidikan, perdagangan dan pelaburan; perdagangan dua hala meningkat pada 2025 dan awal 2026.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) kepada Raja Abdullah II dalam istiadat khas di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, hari ini.

Sebagai balasan, Sultan Ibrahim turut menerima Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali, iaitu darjah kebesaran awam tertinggi Kerajaan Jordan, yang dikurniakan Raja Abdullah II dalam istiadat sama.

Menurut Istana Diraja Hashemite, Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali dianugerahkan kepada raja, putera dan ketua negara sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan mereka.

Anugerah itu turut diberikan kepada tokoh antarabangsa atas pencapaian dan sumbangan mereka.

Sementara itu, D.M.N. yang diwartakan pada 21 Ogos 1958 merupakan antara darjah kebesaran Persekutuan yang boleh dikurniakan secara kehormat kepada raja, sultan, permaisuri, putera dan puteri diraja serta ketua negara asing.

Kedua-dua istiadat berlangsung selepas Sultan Ibrahim dan Raja Abdullah II mengadakan pertemuan empat mata di Dewan Seri Negara.

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Ayman Safadi.

Terdahulu, Raja Abdullah II diberikan sambutan negara di Dataran Kawad Istana Negara.

Baginda turut dijadual menerima menghadap Datuk Seri Anwar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum menamatkan lawatan negara.

Malaysia dan Jordan menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi sejak 1965.

Kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan.

Pada 2025, perdagangan dua hala Malaysia-Jordan mencecah RM993.4 juta, meningkat 15.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, nilainya meningkat 8.0 peratus kepada RM740.7 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.