Belanjawan 2027 perkukuh daya saing PMKS

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Peruntukan dan pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan 2027 disifatkan mampu memperkukuh ekosistem serta meningkatkan daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Geran pensijilan halal RM5,000 bagi permohonan kali pertama membantu PMKS capai nilai tambah dan pematuhan syariah.
  • Bantuan geran, pembiayaan mudah dan insentif cukai memudahkan usahawan mengembangkan dan memperkukuh perniagaan.
  • Sumbangan SARA dan STR meringankan kos sara hidup, meningkatkan jualan di pasar tani serta menyokong pengeluar tempatan.
  • Usahawan digalakkan berfikir kreatif, inovatif dan membina daya tahan serta manfaatkan sokongan kerajaan untuk capai pasaran antarabangsa.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Shifa Mohd Nor berkata, bantuan merangkumi geran, kemudahan pembiayaan mudah dan insentif cukai berpotensi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, geran khas pensijilan halal antara inisiatif penting yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti usahawan.

“Peluang paling besar yang menarik perhatian saya ialah geran pensijilan halal untuk PMKS sebanyak RM5,000 bagi permohonan kali pertama.

“Aspek halal amat penting di Malaysia kerana ia memberi nilai tambah, menjamin kesejahteraan dan memastikan pematuhan syariah. Geran ini secara tidak langsung memudahkan urusan usahawan,” katanya ketika ditemu bual di Wisma Berita, hari ini.

Mengulas mengenai kos sara hidup, beliau berkata bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dapat meringankan beban rakyat, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.

Jelasnya, penggunaan bantuan SARA di premis seperti pasar tani dan lokasi kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut berpotensi meningkatkan hasil jualan usahawan serta pengeluar tempatan.

“Sumbangan STR dan SARA ini sebenarnya usaha jangka pendek, tetapi sangat penting untuk merancakkan ekonomi masa kini.

“Perluasan SARA memberi kelegaan kepada golongan M40, terutamanya penduduk di bandar berikutan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Shifa menasihatkan usahawan supaya mengamalkan pemikiran kreatif dan inovatif serta membina daya tahan bagi mendepani cabaran perniagaan.

Beliau berharap usahawan tempatan tidak sekadar berpuas hati pada tahap kelangsungan perniagaan, sebaliknya memanfaatkan sokongan kerajaan dan terus menimba ilmu untuk meningkatkan perniagaan masing-masing ke peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.